GENEVA: Kemusnahan akibat serangan berterusan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu disifatkan setanding kemusnahan bandar-bandar di Jerman ketika Perang Dunia Kedua, kata Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell.
Ketika ditemubual stesen penyiar negara Sepanyol, RVTE semalam, Borrell berkata, kempen pengeboman Israel ke atas wilayah terkepung Palestin itu antara paling sengit dalam sejarah.
Sehubungan itu Borrell berharap Eropah akan mengambil langkah menghentikan keganasan terhadap rakyat Palestin di kawasan yang diduduki, merujuk Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur, yang mana sekurang-kurangnya 271 terbunuh dalam serangan tentera dan peneroka Israel sejak 7 Oktober lalu.
Beliau memberi amaran lonjakan keganasan baru-baru ini di kawasan berkenaan telah membenarkan perluasan pendudukan Israel, kini empat kali ganda lebih besar daripada 30 tahun lalu apabila Perjanjian Oslo ditandatangani.
Borrel berkata keadaan semasa menjadikan penyelesaian dua negara kepada konflik Israel-Palestin “lebih sukar.”
Pada 1993, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Israel menandatangani Perjanjian Oslo, yang memberikan rakyat Palestin satu bentuk pemerintahan sivil. Perundingan bagaimanapun gagal menyempurnakan perjanjian damai yang membawa kepada penubuhan negara Palestin.
Rundingan damai tajaan Amerika Syarikat (AS) antara Palestin dan Israel gagal pada April 2014 apabila Tel Aviv enggan menghentikan pembinaan penempatan dan membebaskan tahanan Palestin yang dipenjarakan sebelum 1993.