Mati di tempat lain 48 jam sebelum dijumpai

PETALING JAYA 7 Dis. – Hasil bedah siasat menunjukkan punca kematian anak austisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, adalah akibat kecederaan pada leher, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,  Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Beliau berkata mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 48 jam sebelum mayatnya ditemui malam tadi.

“Rumusan daripada bedah siasat dan pencarian dijalankan pihak polis Petaling Jaya bersama masyarakat setempat selama dua hari yang melalui tempat sama, tidak bertemu mangsa. Sebaliknya, mangsa ditemui pada hari kedua lewat malam tadi.

“Dari situ boleh dirumuskan mangsa tidak mati di tempat kejadian, mangsa mungkin mati di tempat lain sebelum (mayat) diletakkan di situ,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, malam ini.

Mohd Shuhaily berkata, kesimpulan itu turut mengambil beberapa indikator hasil bedah siasat petang tadi termasuk ada kesan tekanan pada leher, menunjukkan mangsa mungkin dicekik.

“Bedah siasat menemui defensive wound (kecederaan akibat mempertahankan diri). Demi menjaga maruah Allahyarham dan keluarga, memadai saya cakap itu sahaja,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, anak sungai lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui adalah kawasan terpencil yang jarang dilalui penduduk, justeru pihaknya percaya suspek mengetahui selok-belok kawasan itu.

Beliau tidak menolak kemungkinan suspek adalah penduduk setempat di tempat kejadian.

Mohd Shuhaily, berkata siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan JSJ Bukit Aman akan membantu siasatan Polis Daerah Petaling Jaya, selain dibantu Polis Kontinjen Selangor.

“Kita sudah merencana operasi seterusnya untuk mengesan suspek, masih terlalu awal dalam mengenal pasti suspek.

“Kita ada beberapa strategi. Bagi pihak ibu bapa, saya merayu masyarakat setempat sekiranya mereka mempunyai apa juga maklumat, sekecil mana pun, datang kepada pihak polis untuk merungkai jenayah ini.

“Kita memandang serius jenayah kejam ini dan kita akan berusaha menjejaki suspek,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata polis akan merakam semula keterangan ibu bapa Zayn Rayyan, selepas bedah siasat  menunjukkan kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu mati akibat dibunuh.

Katanya, kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.

“Ya kita akan rakam semula keterangan ibu dan bapa mangsa (untuk bantu siasatan polis). Selain itu, kita turut wujudkan ‘task force’ (pasukan khas) fokus untuk membantu dalam siasatan kes ini,” katanya.

(Foto IPD Petaling Jaya)

Related posts

Leave a Comment