KUALA LUMPUR 30 Nov. – “Kita berkawan tapi bila saya duduk di sini, saya hilang kawan. Saya kena betul-betul uruskan (ruang perbahasan) kerana masa rakyat hantar (pilih) kita, mereka hendak produktiviti,”
Begitulah reaksi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul sebagai respons kepada Awang Hashim (PN-Pendang) yang tidak puas hati apabila peraturan mesyuarat yang dibangkitkan supaya memberi perlindungan kepadanya ditolak.
Johari yang juga bekas Ahli Parlimen Sungai Petani mewakili PKR mengulangi pendirian beliau tidak memihak kepada mana-mana blok ahli Parlimen ketika mempengerusikan persidangan.
Tegasnya, apa yang menjadi keutamaan ialah memastikan isu berkaitan rakyat dapat dibahaskan dan diselesaikan dengan sebaiknya.
“Kalau saya melayan semua (perkara yang dibangkitkan) tidak boleh sebab itu kita kena tegas. (Sebab) bila saya kata duduk sekali (tetapi) tidak duduk, dua kali tidak duduk (juga), saya kena pakai nombor kerana kita kena adil,” katanya.
Terdahulu Awang membangkitkan peraturan tersebut bagi meminta perlindungan Dewan Rakyat kerana mendakwa dirinya diugut Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal susulan membuat kritikan terhadap wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengumumkan secara terbuka menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya hendak minta dengan Yang Dipertua janganlah terlalu keras dengan saya (tapi) dengan Hulu Langat buat apa pun tidak mengapa tetapi dengan saya panggil untuk halau saya. Tidak boleh macam tu.
“Saya ada hak. Saya tengok Speaker amat emosi dengan saya,” katanya.
Menjawab perkara itu, Johari menafikan beliau bersikap sedemikian sebaliknya sentiasa berusaha untuk adil kepada semua dan pada masa sama meminta Awang membuat usul untuk diteliti berhubung dakwaan dirinya diugut.
Johari kemudiannya meminta Awang membuat usul berhubung dakwaan diugut.
