Kerajaan Perpaduan kekal sokong kepemimpinan Hajiji

PENAMPANG 7 Dis. –  Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan pendirian Kerajaan Perpaduan yang kekal menyokong kepemimpinan  Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Beliau berkata pendirian itu mengambil kira prestasi dan kerjasama yang ditunjukkan kerajaan Sabah pimpinan Hajiji ketika ini.

“Saya percaya dengan sikap dan pendirian kerajaan negeri sekarang, kita boleh beri kerjasama. Dalam politik negara ini, harus ada saling mempercayai.

“Itu sebab saya ambil keputusan Kerajaan Perpaduan peringkat pusat, kerana kerjasama ditunjukkan dan prestasi kerajaan negeri, kita tetap menyokong kepemimpinan Datuk Seri Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Jangan ada orang bangkitkan soal-soal lain, pendirian saya jelas,” katanya pada pelancaran Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2023 yang turut dihadiri Hajiji di Buhavan Square, Donggongon, di sini, hari ini.

Hajiji mengetuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada tujuh parti komponen rasmi iaitu Gagasan Rakyat Sabah, PBS, SAPP, STAR, USNO, LDP dan PHRS.

Perdana Menteri berkata, penjelasan itu bertujuan memastikan hubungan harmoni dan kerjasama berterusan kerajaan Pusat dan negeri dalam melaksanakan pembangunan demi keselesaan hidup rakyat.

Terdahulu, Anwar berterima kasih kepada Hajiji kerana bertegas dalam pemilihan kontraktor berwibawa bagi melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan kos RM15 bilion.

“Di Sarawak sudah hampir siap, tapi di Sabah lambat siap. Nasib baik kita ada Ketua Menteri dan Menteri Kewangan yang prihatin, tidak boleh buat cara lama seperti dulu, masing-masing nak cari kontraktor.

“Jadi saya berterima kasih kepada Hajiji, jangan peduli itu, cari kontraktor terutama dari Sabah yang layak dan mampu menjalankan kerja. Kalau tidak, bagilah berapa puluh bilion pun, kerja tak siap dan tertangguh.

“Kita kena kerjasama, mana yang mampu diselenggara oleh kontraktor Sabah kita berikan. Kalau tidak boleh, kita buat kerjasama dengan kontraktor peringkat kebangsaan, sebab kita nak jalan (lebuh raya) itu siap,” katanya.

Secara keseluruhan, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah mengandungi sebanyak 35 pakej kerja dalam Fasa Satu, dengan 16 daripadanya iaitu Fasa 1a sudah dimulakan, manakala baki 19 pakej dalam Fasa 1b belum bermula.

Panjang jajaran dalam semua pakej kerja itu dianggarkan sejauh 706 kilometer.

Berbeza dengan Sarawak, keseluruhan projek Lebuhraya Pan Borneo di negeri jiran itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan.

Related posts

Leave a Comment