PUTRAJAYA 6 Dis. – : Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengganggap Pas seperti ‘gila talak’ susulan kenyataan pemimpin parti itu yang tidak menolak untuk bekerjasama semula dengan UMNO di sebalik sejarah ‘pahit’ hubungan sebelum ini.
Presiden UMNO itu berkata, UMNO setakat ini belum terbuka hati untuk menjalinkan kerjasama dengan parti Pas.
“Mungkin ada pihak yang telah kegilaan talak kerana mereka pernah berada dalam kerajaan dahulu. Alangkah sakitnya apabila mereka mempunyai kerusi yang banyak tetapi mereka terus jadi pembangkang.
“Kita harap mereka terus berdoa, untuk tidak melakukan ‘kekencingan’ (penipuan) sekali lagi kepada UMNO yang menyebabkan UMNO tidak langsung mahu membuka jalan setakat ini.
“Allah belum buka lagi hati kami menjalin semula kerjasama politik dengan mereka. Kami harap mimpi siang mereka itu dapat dinoktahkan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis penyerahan sumbangan Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu Pas tidak menolak untuk bekerjasama semula dengan UMNO.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menjelaskan, sebarang kerjasama dengan UMNO perlu melalui platform Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Isham Jalil yang menganggap segelintir pemimpin UMNO sebagai ‘barua’ DAP, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mencabar Isham untuk menyuarakan semula pendapat itu pada mesyuarat MKT malam ini.
Setakat ini beliau tidak hadir mesyuarat MKT sebanyak tiga kali.
“Mudah-mudahan beliau mempunyai keberanian untuk datang suarakan pendapat yang beliau sanggah sendiri apabila kita menjalinkan kerjasama dengan PH (Pakatan Harapan) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya
Isham sebelum ini mendakwa segelintir pemimpin UMNO-BN bertindak menjadi ‘penjilat’ DAP yang menjadi punca kekalahan pada pilihan raya kecil (PRK) Kemaman.
Dakwanya, UMNO terus menerima penolakan orang Melayu kerana parti yang seharusnya memperjuangkan Melayu dan Islam, sudah tersasar dan rela menjadi ‘barua DAP’.
