Presiden UMNO nakhoda gagal

KUALA LUMPUR 6 Dis. – Pas akan terus berusaha menyelamatkan pemimpin dan ahli UMNO dari terus karam sama ada menyelamatkan kapal UMNO atau menjemput mereka menyertai kapal yang lain.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dalam satu kenyataan berkata, bagi Pas, usaha perpaduan ummah tidak pernah akan bernoktah.

Beliau yang menyifatkan Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi nakhoda gagal yang sedang membawa kapalnya karam berkata, ‘anak-anak kapal’ sekelilingnya tidak ada yang berani menegur.

“Bahkan hanya berperanan menjadi tukang ampu sedangkan sangat jelas kapal yang sedang dinaiki karam sedikit demi sedikit,” katanya.

Terdahulu Dr Ahmad Zahid menyifatkan kenyataan Pas tidak menolak akan kembali bekerjasama dengan UMNO menerusi Perikatan Nasional (PN) sebagai mimpi di siang hari serta ibarat ‘gila talak’.

“Biarlah Presiden UMNO menyatakan Pas ‘gila talak’, hakikatnya yang ‘gila talak’ inilah yang menang lebih besar berbanding yang sedang mengata nista.

“Realitinya posisi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Bandar (Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah) pun gagal dimanfaatkan untuk memikat undi masyarakat luar bandar khususnya orang-orang Melayu,” katanya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga berkata, satu-satunya ‘kejayaan paling besar Ahmad Zahid ialah menyelamatkan diri dari terus didakwa atas 47 pertuduhan jenayah walaupun harganya ialah kerajaan menghadapi kecaman dari dalam dan luar negara.

“Sayangnya yang berdegar-degar melaungkan agenda reformasi itulah yang sedang menjulang agenda menyelamatkan Zahid.

“Jika Ronin 47 ialah kisah sekumpulan samurai yang sanggup berkorban demi harga diri dan maruah mereka, maka Zahid 47 ialah kisah seorang tokoh yang sanggup menenggelamkan bahtera perjuangannya sendiri. Benar atau tidak, tunggulah sahaja,” katanya.

Related posts

Leave a Comment