PUTRAJAYA 6 Dis. – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membatalkan notifikasi empat jenis produk kosmetik setelah dikesan mengandungi racun berjadual termasuk merkuri, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.
Beliau berkata, empat produk itu adalah Bestie Moisturizer Cream, Abyra Seaweed Skin Care- Seaweed Cell Renewal Night Cream, Gerbera Beauty – Treatment and Repairing Night Cream dan Gerbera Beauty – Whitening Night Cream.
Dua daripada produk terbabit iaitu Bestie Moisturizer Cream dan Abyra Seaweed Skin Care-Seaweed Cell Renewal Night Cream dikesan mengandungi merkuri manakala, Gerbera Beauty Treatment mengandungi Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17-Valerate sementarta Gerbera Beauty – Whitening Night Cream pula dikesan mengandungi Merkuri dan Betamethasone 17-Valerate.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pembatalan notifikasi produk-produk itu dibuat oleh pengarah kanan perkhidmatan farmasi dan susulan itu, kosmetik berkenaan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.
Dr Muhammad Radzi memberitahu, produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
Katanya , penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesankesan sampingan yang tidak diingini.
Berikutan pembatalan itu, beliau mengingatkan semua pengedar dan penjual supaya menghentikan pengedaran dan penjualan manakala orang ramai atau pengguna perlu menghentikan penggunaannya.
“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,” katanya.
Beliau berkata syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
“Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik itu dinasihatkan agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.
