Isham Jalil kekal pendirian protes UMNO bersama DAP

KUALA LUMPUR 6 Dis. – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil tetap dengan pendirian tidak akan menghadiri mesyuarat MKT yang dipengerusikan oleh Dr Ahmad Zahid Hamidi dan selagi parti itu bersama DAP pada pilihan raya.

“Saya sudah kata sebelum ini yang saya kekal dengan pendirian untuk protes dan selagi dia membuat keputusan untuk pergi pilihan raya dengan DAP saya protes dan tidak akan hadir mesyuarat yang dia pengerusikan dan dia veto keputusannya

“Ini penggal kedua saya dalam Majlis Tertinggi, saya sudah boleh baca apa yang dia akan buat dalam mesyuarat. Buat apa saya ikut kemahuan dia dan datang tadah muka di lubuknya,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Kenyataan itu sebagai menjawab cabaran Ahmad Zahid supaya beliau yang tiga kali tidak hadir mesyuarat dapat menghadirkan diri pada malam ini.

“Mudah-mudahan beliau mempunyai keberanian untuk datang suarakan pendapat yang beliau sanggah sendiri apabila kita menjalinkan kerjasama dengan PH (Pakatan Harapan) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan,” kata Ahmad Zahid.

Isham berkata, jika Ahmad Zahid ikhlas berani, Presiden UMNO itu boleh tunaikan cabaran untuk berdebat, di gelanggang yang neutral.

Beliau juga berharap Ahmad Zahid sedar, menerima hakikat dan tidak berada dalam sindrom penafian bahawa lebih ramai orang Melayu kini menolak UMNO oleh kerana keputusan Presiden untuk pergi pilihan raya bersama DAP selepas PRU-15.

“Jika keadaan ini berterusan, UMNO akan hancur dalam beberapa tahun lagi oleh kerana keputusan ini. UMNO ini adalah parti keramat yang memperjuangkan orang-orang Melayu di Malaysia selama ini.

“Usahlah kerana kepentingan diri seluruh parti hancur lebur dibuatnya. Jika Datuk Seri (Ahmad Zahid) letak jawatan, saya pun akan letak jawatan. Kita sama-sama berkorban asalkan parti keramat ini dapat diselamatkan selagi ada masa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment