Pengecualian 3 kumpulan pengembara

PUTRAJAYA 1 Mei – Tiga kumpulan pengembara tidak perlu melakukan ujian pengesanan Covid-19 sebelum berlepas ke Malaysia dan semasa ketibaan bermula hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ia termasuk pengembara berusia 18 tahun dan ke atas yang lengkap vaksinasi dan pengembara berusia 17 tahun dan ke bawah tanpa mengira status vaksinasi.

“Kumpulan ketiga iaitu pengembara yang mempunyai sejarah jangkitan COVID-19 dalam tempoh enam ke 60 hari dari tarikh sembuh sebelum berlepas ke Malaysia tanpa mengira status vaksinasi.

“Semua kumpulan pengembara ini juga tidak perlu menjalani kuarantin,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Khairy berkata, bagi pengembara berusia 18 tahun dan ke atas dengan status vaksinasi tidak lengkap atau belum menerima vaksinasi, mereka perlu melakukan ujian prapelepasan dua hari sebelum berlepas ke Malaysia menggunakan RT-PCR atau RTK-Ag Profesional.

Selain itu katanya, mereka juga perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan menggunakan RTK antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan swasta yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sama ada secara fizikal atau virtual.

Sekiranya keputusan pengujian Covid-19 adalah negatif, pengembara perlu menjalani kuarantin wajib selama lima hari di tempat penginapan termasuk rumah.

“Mereka juga dikehendaki menjalani RT-PCR pada hari keempat atau RTK antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan swasta yang berdaftar dengan MMC sama ada secara fizikal atau virtual pada hari kelima.

“Pelepasan kuarantin pada hari kelima boleh diberikan jika keputusan ujian RT-PCR hari keempat atau RTK-Antigen hari kelima adalah negatif,” katanya.

Khairy berkata, sekiranya keputusan pengujian Covid-19 adalah positif pada mana-mana situasi, pengembara akan diuruskan mengikut pengurusan kes positif sedia ada.

Katanya, mana-mana pengembara yang dikesan bergejala semasa berada di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Negara akan diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 menggunakan RTK antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan sama ada secara fizikal atau virtual.

“Semua pengembara masih perlu mengemukakan Kad Pengembara (Traveller’s Card) yang dipaparkan di dalam aplikasi MySejahtera semasa ketibaan di PMA,” katanya.

Related posts

Leave a Comment