Trump bebas insiden Capitol

WASHINGTON:  Bekas Presiden, Donald Trump bebas daripada pertuduhan bertanggungjawab menghasut hingga menyebabkan rusuhan di Bangunan Capitol, Washington DC pada 6 Januari lalu.

Senat Amerika Syarikat (AS) membuat keputusan itu selepas perbicaraan terhadapnya bermula minggu lepas dengan 100 anggota Senat bertindak sebagai juri.

Keputusan itu dibuat selepas undian menunjukkan 57-43 undi, sekali gus senat gagal memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan bagi mensabitkan Trump dengan tuduhan menghasut pengikutnya.

Kegagalan mendapat majoriti dua pertiga itu menunjukkan beliau mendapat sokongan parti Republikan yang cuba membantu bekas Presiden itu daripada disabitkan tuduhan.

Hanya tujuh daripada 50 Senat Republikan bersama-sama Parti Demokrat menyokong pendakwaan terhadapnya.

Pihak pembelaan sebelum ini menegaskan pendakwaan ke atas Trump tidak mengikut perlembagaan dan tuduhan bahawa bekas presiden itu bertanggungjawab ke atas insiden rusuhan di Bangunan Capitol disifatkan tidak masuk akal.

Bagaimanapun dalam hujah pendakwaan pada peringkat praperbicaraan, pihak Demokrat menyatakan Trump melakukan jenayah paling besar dalam sejarah 232 tahun pemimpin nombor satu AS kerana menghasut penyokong untuk menyerang Kongres pada 6 Januari lalu.

Sementara itu Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi menyifatkan anggota Senat Republikan sebagai pengecut susulan keputusan itu.

Tegasnya, perwakilan itu dilihat tidak berani untuk mengheret Trump ke muka pengadilan.

“Apa yang kita lihat di Senat hari ini adalah kumpulan Republikan yang pengecut,” kata Pelosi dalam satu sidang media selepas keputusan Senat terhadap Trump.

Malah, beliau secara peribadi membidas Mitch McConnell kerana gagal mensabitkan kesalahan terhadap Trump walaupun sebelum ini anggota Senat Republikan itu lantang mengkritik bekas presiden berkenaan susulan insiden rusuhan yang meragut lima nyawa.

“Kamu (McConnell) memilih untuk tidak menerimanya. Itulah alasan yang digunakannya,” katanya merujuk kepada artikel mengenai penghakiman yang ingin disampaikan Dewan lebih awal.

Bagaimanapun, Pelosi tidak akan berputus asa dan akan meneruskan usaha membawa Trump menghadapi pertuduhan semula.

“Pengadilan belum selesai,” tegas Pelosi, individu yang bertanggungjawab membawa Trump ke Dewan Senat untuk memulakan perbicaraan.

Related posts

Leave a Comment