KUALA LUMPUR 4 Mei – Kerajaan bertanggungjawab menjelaskan perkara sebenar selain mengambil langkah bermaruah membetulkan situasi berhubung isu Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 membabitkan tahanan di rumah Najib Razak.
Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana taruhannya sangat besar, bukan sahaja melibatkan kesejahteraan diri seorang individu namun lebih penting ialah kemaslahatan negara dan rakyat serta keutuhan sistem kenegaraan.
“Kita tidak boleh biarkan sistem kenegaraan terus ditekan dan dicabar oleh kelemahan atau kegagalan kerajaan sekarang serta kepemimpinannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Pas juga mendapati tindakan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit sokongan terhadap permohonan semakan kehakiman Najib juga sumbang dan pelik dari beberapa sudut.
“Sebagai anggota jemaah menteri, tindakannya akan mengheret kerajaan ke dalam krisis kepemimpinan dan juga perlembagaan.
Ini kerana ia jelas menolak dan menyokong cabaran terhadap keputusan kerajaan sendiri terutama apabila Zahid mendakwa bahawa anggota kerajaan mengetahui kewujudan Titah Adendum tersebut sedangkan ia dinafikan oleh menteri yang lain atau paling tidak membisu tentangnya,” kata Takiyuddin.
Semalam, Khamis, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz gagal memfailkan afidavit di Mahkamah bagi membetulkan fakta yang didakwa tidak tepat, berhubung Titah Adendum berhubung kes pengampunan Najib.
Hakim, Amarjeet Singh memutuskan demikian semasa pendengaran permohonan kebenaran Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ini untuk memfailkan afidavit bagi membetulkan kesilapan fakta dalam afidavit dikemukakan, Ahmad Zahid.
Tambah Takiyuddin, kegagalan itu akan menimbulkan pelbagai persoalan teras melibatkan integriti, kejujuran dan ketelusan kerajaan serta kedudukan dan maruah Raja-Raja Melayu.
Tanpa merujuk kepada alasan penghakiman ketika menolak permohonan tersebut, Pas percaya percanggahan fakta antara dua orang menteri dalam kerajaan yang sama memberi gambaran sangat buruk tentang keutuhan kerajaan.
“Selain itu, ia turut mendedahkan sikap sebenar kerajaan berhubung kedudukan dan keutamaan perintah seorang ketua negara,” jelasnya.
Menurut beliau, keadaan itu diburukkan lagi oleh beberapa kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seolah-olah mahu lepas tangan dan berdolak-dalik untuk tidak menjawab isu berkenaan.
“Pas juga berasa hairan mengapa Ahmad Zahid perlu menunggu begitu lama, iaitu sehingga 9 April, untuk membuat pendedahan itu dengan dengan memfailkan afidavit menyokong permohonan semakan kehakiman Najib.
“Sedangkan, sebelum itu menurut dakwaan beliau, Tengku Zafrul memaklumkan kepadanya tentang kewujudan Titah Addendum tersebut pada 29 Januari lagi,” katanya.
Nnn
