PRM sasar tidak hilang deposit

HULU SELANGOR 3 Mei – Bertanding untuk menang, tetapi sudah cukup bersejarah jika  tidak hilang deposit atau undi diperoleh meningkat berbanding 527 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Ogos lalu.

Begitulah harapan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) Ahmad Jufliz Faiza terhadap calonnya Hafizah Zainudin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Ahmad Jufliz berkata, PRM realistik dalam meletakkan sasaran untuk tidak kehilangan deposit berikutan sedar berdepan dua pakatan gergasi sebagai saingan iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Kami perlu menunjukkan kami parti yang konsisten berjuang sejak sebelum merdeka tetapi kami tidak akan mengangkat bendera putih meskipun berdepan parti besar yang hanya memainkan isu negara tanpa mempedulikan masalah kecil membelenggu rakyat.

Kami tidak serik (bertanding), sudah tentu bertanding untuk menang, tetapi sudah cukup bersejarah jika kami tidak hilang deposit.

Mengikut perkiraan, sekiranya daripada 70 peratus atau kira-kira 28,000 orang keluar mengundi, jika dapat sokong satu perlapan (3,500) undi, kita tidak akan hilang deposit,” katanya.

Beliau hadir bersama Hafizah pada pelancaran bilik gerakan dan manifesto PRM PRK DUN Kuala Kubu Bharu, di Jalan Ampang Pechah, Rasa di sini.

Pada PRN Selangor, PRM memperoleh 527 undi melalui calonnya, Chang Boon Lai manakala calon DAP (PH) Lee Kien Hong menang dengan majoriti 4,119 undi mengalahkan Teoh Kien Hong (Gerakan-PN) dan Siva Prakash Ramasamy (MUDA).

Tidak serik bertanding, Ahmad Jufliz berkata, walaupun partinya gagal memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya sejak kebelakangan ini, namun keputusan itu dibuat kerana asas perjuangan parti membela nasib rakyat.

Mengenai manifesto, Ahmad Jufliz berkata, ia merangkumi aspek meningkat dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan tanpa riba bagi warga Kuala Kubu Bharu terutama berkaitan industri kecil dan sederhana.

Selain itu, katanya, dalam manifesto PRM juga mahu mewujudkan koperasi komuniti di setiap taman dan kampung; menubuhkan hab teknologi tumbuhan herba, menggalakkan penduduk terbabit ekopelancongan serta mewujudkan pusat khidmat penduduk bagi mereka yang mengalami kesan Covid-19.

Selain itu akujanji untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur dan meningkatkan peruntukan kebajikan kepada keluarga penjawat awam, wanita, warga emas, orang kurang upaya dan kanak-kanak.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment