Pas kekal Kemaman dengan majoriti lebih besar

KEMAMAN 2 Dis. –  Menteri Besar Terengganu  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas menang dengan majoriti 37,220 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang berlangsung hari ini.

Dr Ahmad Samsuri atau Dr Sam memperoleh 64,998 undi manakala calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor  memperoleh 27,778 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kemaman Ahmad Farhan Abdul Wahab kira-kira pukul 10.08 malam ini di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman,

Sebanyak 428 kertas undi ditolak dengan jumlah keluar mengundi adalah sebanyak 65.76 peratus daripada 141,043 jumlah pengundi yang layak mengundi.

Pas mengekalkan kerusi Parlimen Kemaman itu dengan majoriti lebih besar berbanding majoriti diperoleh calonnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu sebanyak 27,179.

Pada PRU15, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Ahmad Said yang meraih 38,535 undi.

Pemimpin Pas semasa kempen PRK meletakkan sasaran untuk menangi majoriti 30,000 undi.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan Che Alias menerima petisyen difailkan calon BN, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu merangkap Hakim Pilihan Raya, Anselm Charles Fernandis menerima dakwaan pempetisyen di dalam Petisyen Pilihan Raya bahawa terdapat sogokan di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen PRU15 untuk meraih undi kepada Che Alias.

Related posts

Leave a Comment