Tahniah Pas, UMNO jangan kecewa

KUALA LUMPUR 2 Dis. – Setiausaha Agung UMNO,  Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan tahniah kepada Pas atas kemenangan besar calonnya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Katanya, dengan kemenangan itu bermakna Perikatan Nasional (PN) kekal mempertahankan 69 kerusi Parlimen ketika ini, manakala Kerajaan Perpaduan kekal didokong 152 ahli Parlimen.

Melalui hantaran di Facebooknya, Dr Asyraf bagaimanapun berkata keputusan PRK itu tidak membawa apa-apa perubahan kepada Kerajaan Perpaduan.

Beliau pada masa yang sama mengingatkan anggota UMNO supaya tidak kecewa dengan kekalahan itu sebaliknya terus membina kembali kekuatan, kepercayaan dan keyakinan bagi meneruskan perjuangan yang belum selesai demi Islam, bangsa serta negara.

Beliau berkata, dengan selesainya PRK itu, Kerajaan Perpaduan kini boleh memfokuskan kepada segala usaha membela kebajikan rakyat dan memacu kembali ekonomi negara.

“Kalah menang bukan alasannya, ada kala menang dan ada kala kalah. Ketika menang jangan angkuh dan ketika kalah jangan kecewa.

Buat semua pengundi setia Barisan Nasional (BN), terima kasih banyak kerana masih meyakini perjuangan ini.

“Buat seluruh jentera BN seluruh negara yang bertungkus lumus di Kemaman selama lebih 14 hari, sekalung penghargaan setingginya atas usaha dan ikhtiar,” katanya.

Pada PRK itu, Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas menang dengan majoriti 37,220 undi selepas memperoleh 64,998 undi manakala calon BN Jeneral (B)  Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memperoleh 27,778 undi.

Related posts

Leave a Comment