Wan Junaidi Pengerusi JKMR

KUALA LUMPUR 28 Nov. – Yang Dipertua Dewan Negara,  Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 9 Oktober lalu hingga 8 Oktober 2026.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam hantaran di laman Facebook hari ini berkata lima lagi ahli Parlimen dilantik menganggotai jawatankuasa itu.

Mereka adalah Ahli Parlimen Paya Besar,  Mohd Shahar Abdullah; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohd Shafizan Kepli; Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

Terdahulu beliau menyampaikan watikah pelantikan kepada semua ahli jawatankuasa itu di Bangunan Parlimen di sini.

Sementara itu, Anwar menyifatkan pelantikan ahli JKMR hari ini sebagai manifestasi Kerajaan Madani untuk terus beriltizam dengan segala usaha dan kudrat bagi membanteras gejala rasuah di negara ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berharap Ahli JKMR itu dapat menggalas tanggungjawab besar yang diamanahkan dengan penuh adil, tawaduk dan saksama.

“Intiha penerimaan watikah ini, didoakan segala usaha murni kita ini mendapat keberkatan daripada-Nya. Saya percaya Ahli JKMR Sesi 2023-2026 akan terus istiqamah dan beroleh hikmah untuk melaksanakan tugas memerangi gejala rasuah yang kian membarah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment