KOTA BHARU 27 Nov. – Kerajaan Kelantan akan mengeluarkan beras tempatan dengan menggunakan jenama sendiri iaitu Beras Agro Darul Naim, mulai tahun depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail,.
Beliau berkata, langkah itu dibuat susulan kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas untuk membangunkan kilang padi dan beras di Meranti, Pasir Mas.
Tuan Mohd Saripudin berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azhar Salleh (Pas-Pulai Chondong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Mengenai langkah kerajaan negeri dalam menghadapi isu dan cabaran keterjaminan makanan rakyat, Tuan Mohd Saripudin berkata, beberapa pendekatan sudah diambil kerajaan negeri pada Mei tahun lalu.
Antaranya menubuhkan Jawatankuasa Induk Sekuriti Makanan Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar dan Jawatankuasa Kerja Sekuriti Makanan Kelantan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Kelantan.
“Jawatankuasa ini membabitkan pelbagai agensi termasuk agensi kerajaan Persekutuan dan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi menyelaras gerak kerja dan perancangan projek serta memperhalusi isu-isu berkaitan dan langkah-langkah penyelesaian yang sesuai bagi menangani isu berbangkit berkaitan keterjaminan makanan.
“Pada masa sama kita memberi insentif secara bersasar dan selektif kepada golongan sasar. Untuk tahun ini, Kelantan memperuntukan sebanyak RM3.6 juta membabitkan 357 projek pertanian bagi tujuan ini,” katanya.
