1,147 kandungan buli siber diturunkan

KUALA LUMPUR 27 Nov. –  Setakat 15 November tahun ini, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sudah menurunkan 1,147 kandungan berkaitan buli siber dan gangguan di pelbagai platform media sosial, Timbalan Menteri KKD Teo Nie Ching,

Beliau menjelaskan daripada jumlah itu, platform TikTok merekodkan kandungan dengan unsur buli siber tertinggi iaitu sebanyak 804.

“Statistik bagi setiap platform menunjukkan sejumlah 804 kandungan dikeluarkan daripada TikTok, diikuti Facebook 195, Instagram dan YouTube masing-masing sembilan kandungan serta platform lain 123,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang ingin tahu berapa banyak penyalahgunaan media sosial termasuk buli siber direkodkan, selain turut menyarankan supaya diwujudkan satu perundangan yang konkrit bagi mengatasi isu itu, terutama membabitkan pelajar.

Nie Ching dalam reaksinya bersetuju bahawa buli siber khususnya dalam kalangan remaja tidak boleh dipandang ringan, malah katanya, KKD akan membawa cadangan supaya diwujudkan akta khusus bagi menangani isu buli siber.

“Mungkin satu akta khusus boleh diwujudkan untuk (tangani) buli siber. Saya akan bawa cadangan ini dan berbincang dengan pemegang taruh yang lain. Kita akan lihat mana satu kementerian (yang bersesuaian) untuk bawa akta berkenaan,” katanya.

Sementara itu, KKD menjalankan pelbagai usaha advokasi bertujuan memberi kesedaran berkaitan penggunaan media sosial serta pendedahan mengenai risiko dan ancaman penyalahgunaan Internet.

“Melalui kerjasama dengan UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), MCMC mengadakan seminar perlindungan kanak-kanak dan remaja dalam talian untuk ahli akademik, pengamal media dan mereka yang berkepentingan,” katanya.

MCMC juga bekerjasama dengan lima penyedia perkhidmatan di negara ini iaitu CelcomDigi, UMobile, Maxis, Telekom Malaysia (TM) dan TIME dalam menyediakan kemudahan yang dikenali sebagai Parental Control Tools.

Related posts

Leave a Comment