MOTAC semak semula agensi kendali umrah

PUTRAJAYA 25 Nov. –  Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, akan mengetuai jawatankuasa bagi meneliti dan menyemak semula kelayakan syarikat agensi pelancongan, terutama berkaitan mengerjakan umrah.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Tiong King Sing berkata, laporan lengkap berkaitan semakan itu akan dibentangkan dalam tempoh sebulan.

“Ini termasuk mengkategorikan syarikat yang benar-benar menjalankan perniagaan dengan baik dan sebaliknya, serta laporan terperinci mengenai rekod syarikat-syarikat berkenaan sepanjang tempoh menguruskan jemaah umrah.

Tindakan ini bagi memastikan syarikat agensi pelancongan lebih bertanggungjawab ketika menjalankan perniagaan dan tidak mengabaikan pelanggan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, langkah itu susulan masih ada aduan orang ramai, khususnya jemaah umrah yang menjadi mangsa penipuan syarikat agensi pelancongan walaupun tindakan tegas seperti membatalkan lesen syarikat sudah dilaksanakan.

King Sing berkata, pihaknya juga akan menyelesaikan beberapa isu lain seperti harga serta prosedur permohonan boleh dibuat melalui MOTAC, sebelum kementerian menyerahkannya kepada agensi pelancongan yang bertanggungjawab bagi menjimatkan kos yang tidak perlu dikenakan terhadap pelanggan.

Katanya , agensi pelancongan sama ada yang telah lama atau baharu beroperasi perlu melaporkan setiap aktiviti berkaitan pelanggan mereka sepanjang perjalanan mengerjakan umrah, kepada MOTAC bagi pemantauan secara dekat serta memastikan segala janji yang ditawarkan kepada pelanggan dikotakan.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan kunjungan hormat terhadap Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia serta Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi bagi membincangkan mengenai kuota.

“Sekiranya MOTAC diberikan amanah, jawatankuasa yang diketuai Timbalan Menteri akan ditubuh untuk menguruskan perkara ini, daripada diberikan secara terus kepada syarikat agensi pelancongan.

“Ia agar proses jemaah umrah dari negara kita dapat berjalan dengan lebih lancar, telus dan bertanggungjawab, serta memastikan kejadian sama khususnya membabitkan penipuan tidak berulang lagi pada masa depan,” katanya.

King Sing berkata, inisiatif dilakukan MOTAC itu diharap dapat membantu dan melindungi jemaah umrah daripada terus menjadi mangsa penipuan, selain memberi peringatan kepada syarikat agensi pelancongan supaya tidak memperdaya pelanggan serta berusaha memberikan perkhidmatan terbaik.

Beliau juga merayu semua syarikat yang  menguruskan pengurusan umrah sentiasa jujur dalam menjalankan perniagaan serta sentiasa menunaikan tanggungjawab sepenuhnya dalam memberi tawaran perkhidmatan yang dijanjikan.

FOTO hiasan:  KHAIRUL Firdaus Akbar Khan (tengah) ketuai jawatankuasa semak semula agensi kendali umrah

Related posts

Leave a Comment