Tanpa UMNO menumpang PH boleh berkuasa

SHAH ALAM 24 Nov. –  Kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sekadar ‘penumpang’ dan tidak mampu membela kedudukan Melayu dan Bumiputera di negara ini, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Muhyiddin Yassin.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, UMNO yang hanya mempunyai 26 kerusi Parlimen sekadar menumpang kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) malahan tanpa UMNO pun, PH masih boleh memerintah.

Beliau berkata, kuasa politik yang selama ini diterajui oleh parti Melayu kini telah hilang dari tangan orang Melayu akibat ‘percaturan kuasa’ selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

“Jadi, walaupun kita (Bersatu dan Perikatan Nasional) berasa bangga dengan pencapaian parti kita dalam Pilihanraya Umum dan Pilihanraya Negeri yang lalu, namun hakikatnya orang Melayu telah hilang kuasa.

“Kerana itu, janganlah kita berasa hairan apabila kerajaan hari ini secara sedar mengambil tindakan-tindakan yang menyentuh sensitiviti orang Melayu dan umat Islam,” katanya sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Shah Alam, pada Jumaat.

Muhyiddin berkata penubuhan Bersatu adalah sejajar dengan perjuangan nasionalisme Melayu yang adil, seimbang, dan inklusif dalam sebuah negara berbilang kaum seperti yang diperjuangkan oleh pejuang bangsa terdahulu.

Tambahnya, walaupun Bersatu baru berusia tujuh tahun, susur galur, semangat dan matlamat perjuangannya telah berakar umbi di Malaysia, dan sebati dengan citra, jiwa dan identiti bangsa sejak puluhan dekad lamanya.

Muhyiddin berkata, landskap politik negara masa kini menyaksikan buat pertama kalinya sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, parti politik Melayu bukan lagi parti yang menerajui Kerajaan Persekutuan.

“Pakatan Harapan yang hanya memenangi 82 kerusi parlimen membentuk kerajaan dengan sokongan parti-parti lain.

“Buat pertama kali dalam sejarah, Perdana Menteri bukan dari parti Melayu. Malah, parti cauvinis yang anti-Melayu dan anti-Islam, iaitu DAP, merupakan parti yang terbesar dalam kerajaan hari ini.

“Perikatan Nasional yang memenangi 74 kerusi dengan dokongan besar orang Melayu pula menjadi pembangkang.

“Buat pertama kali dalam sejarah juga, pembangkang di negara kita adalah 100 peratus Melayu dan Bumiputera,” katanya lagi.

Muhyiddin menyeru ahli-ahli parti agar menampilkan citra Bersatu sebagai sebuah parti politik abad ke-21 yang akan memayungi kepentingan orang Melayu dan Bumiputera serta melindungi hak-hak yang sah untuk semua kaum.

Dalam pada itu, Muhyiddin menggesa satu usaha digerakkan segera bagi menyatupadukan parti Melayu dengan Bersatu perlu memainkan peranan ke arah itu.

Beliau berkata, ia antara lain bagi menghentikan usaha mana-mana pihak untuk memperjuangkan kesamarataan hak antara semua kaum dan penghapusan dasar pro-Bumiputera.

“Janganlah sengketa sesama kita menyebabkan bumi yang kita pijak ini menjadi milik orang. Masa tidak menyebelahi kita lagi kerana kuasa pun sudah tiada di tangan kita,” katanya.

 

Related posts

Leave a Comment