MPT Bersatu tolak hasrat Muhyiddin

SHAH ALAM 24 Nov. –  Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebulat suara menolak keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan parti tahun depan.

Setiausaha Agung, Hamzah Zainudin berkata, keputusan itu dicapai secara konsensus selepas mesyuarat tergempar MPT Bersatu petang ini yang dipengerusikan Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu.

“MPT sebulat suara membuat ketetapan menolak cadangan Tan Sri Muhyiddin untuk tidak mempertahankan jawatan beliau dalam pemilihan parti. MPT bependirian kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin diperlukan oleh parti dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, beberapa pemimpin Bersatu termasuk Ahmad Faizal tidak bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Pagoh itu.

“Saya rasa terkejut dengan pengumuman presiden untuk tidak menawarkan diri dalam pemilihan parti yang akan kita adakan pada tahun hadapan.

“Untuk itu, kita juga dapat melihat respon secara tiba-tiba dari semua perwakilan yang berdiri menolak cadangan yang nak dibawa oleh presiden untuk tidak menawarkan diri,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, kepemimpinan Muhyiddin amat penting bagi kelangsungan Bersatu dan pastinya bekas Perdana Menteri itu akan meletakkan kepentingan ahli dan suara akar umbi sebelum membuat keputusan muktamad.

“Tetapi saya yakin rasa cinta beliau terhadap parti ini tetap akan memberi pertimbangan serius kepada ucapan perwakilan yang kita akan dengar petang ini sehingga esok,” katanya.

Hamzah pula berkata, kepemimpinan parti masih belum membuat keputusan untuk menerima cadangan Muhyiddin itu.

“Itu baru cadangan. Saya tak mahu perkara ini jadi isu besar. Saya beritahu anda, kami semua dalam MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi) telah bersetuju Tan Sri kata dia tidak mahu mempertahankan, bukan bermakna dia nak letak jawatan.

“Dia tidak mempertahankan (jawatan) dan kita tidak mencadangkan sesiapa pun (bertanding). Tan Sri tetap menjadi presiden kita,” katanya.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula menyatakan beliau akan membawa usul esok bagi memastikan Muhyiddin kekal sebagai presiden.

“Sudah tentunya esok. Saya akan buat semasa penggulungan dan membawanya (usul Muhyiddin kekal presiden),” katanya.

Related posts

Leave a Comment