Melayu dijangka hilang kuasa selamanya

SHAH ALAM: Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menjangkakan Melayu akan kehilangan kuasa selama-lamanya sekiranya persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan di bawah Pakatan Harapan (PH).

Malahan beliau menjangkakan DAP selaku satu daripada komponen di bawah Kerajaan Perpaduan diterajui PH akan memiliki kelebihan terutama dalam menambah bilangan kerusi yang dikuasai sekiranya langkah itu dilaksanakan.

“Ahli Parlimen DAP telah bercakap dengan lantang di Dewan Rakyat baru-baru ini tentang perlunya proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan, terutamanya untuk menambah kerusi-kerusi Parlimen di kawasan bandar.

“Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ramkarpal Singh) telah mengesahkan bahawa proses persempadanan semula kawasan pilihan raya telah dimulakan bagi negeri Sarawak pada tahun ini, Sabah pada 2025 dan Semenanjung Malaysia pada 2026.

Saya jangkakan kerusi DAP akan bertambah sekali ganda jika proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan oleh kerajaan PH,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang menyampaikan ucapan bertajuk Tekad Perjuangan Bersatu menjangkakan kerusi dimiliki DAP akan bertambah menjadi 80 berbanding 40 yang dimiliki kini sekiranya persempadanan semula itu berlaku.

Ini tidak termasuk ‘gerrymandering’ yang akan dibuat di kawasan-kawasan Parlimen sedia ada untuk memberi kelebihan kepada parti DAP dan rakan-rakan sekutunya di dalam PH,” katanya.

Gerrymandering bermaksud persempadanan semula kawasan atau daerah pilihan raya untuk memberi kelebihan kepada satu parti politik dengan cara memecah-belahkan undi kepada parti lain menjadi minoriti di konstituen pilihan raya.

“Jika ini berlaku, DAP akan menjadi sebuah parti yang amat berkuasa di dalam kerajaan. Saya percaya, pada masa itulah cita-cita utama DAP yang memperjuangkan kesamarataan hak dan penghapusan dasar-dasar pro-Bumiputera seperti yang terkandung di dalam Deklarasi Setapak 1967 dan Perlembagaan DAP akan dilaksanakan.

“Adakah kita sanggup biarkan perkara ini berlaku saudara- saudara?? Adakah kita sanggup biarkan ia berlaku?? Adakah kita sanggup biarkan ia berlaku?” soal Muhyiddin.

Sehubungan dengan itu, Muhyiddin mahu usaha mesti digerakkan segera untuk menyatu padu parti-parti Melayu.

“Usaha juga mesti dilakukan segera untuk Perikatan Nasional kembali ke Putrajaya sebelum nasi menjadi bubur. Hanya dengan cara inilah, cita-cita songsang mereka itu boleh kita halang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment