KUALA LUMPUR 22 Nov. – Polis akan melakukan pemeriksaan badan, beg dan barangan di Stadium Bukit Jalil mulai pukul 6 petang ini bagi memastikan tiada barang terlarang dibawa masuk sempena Coldplay: Music Of The Spheres World Tour.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, berkata pihak polis tidak akan bertanggungjawab terhadap barang larangan yang dirampas semasa pemeriksaan di pintu masuk ataupun dalam kawasan pekarangan stadium.
Pengunjung dilarang membawa masuk mercun, bunga api, suar; topi keledar; laser, objek tajam (besi, kayu); senjata; minuman keras; payung atau tongkat; powerbank; botol air; pemetik api; rokok dan rokok elektronik; pembesar suara dan drone.
Dalam satu kenyataan semalam, beliau menasihatkan orang ramai supaya menjaga tatasusila dan tidak melakukan sebarang provokasi ketika atau selepas konsert.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang hadir ke konsert berkenaan untuk menggunakan pengangkutan awam dan tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan sekitar laluan masuk dan keluar stadium.
Katanya, orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan dan polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan pada konsert berkenaan yang dijangka dihadiri, 75,000 penonton.
