Malaysia mendahului Kumpulan D

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Harimau Malaya kini mendahului Kumpulan D selepas anak buah Kim Pan Gon mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Taiwan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 zon Asia di Taipei malam tadi.

Pada masa yang sama Malaysia mendahului Kumpulan D selepas dua perlawanan pertama apabila Kyrgyzstan mengejutkan pasukan ranking ke-72 dunia Oman 1-0 di Bishkek lewat malam tadi menerusi gol jaringan Odiljon Abdurakhmanov pada minit ke-49.

Malaysia, yang bangkit menundukkan Kyrgyzstan 4-3 di Bukit Jalil Khamis lalu, satu-satunya pasukan tanpa kalah selepas dua perlawanan dengan mengumpul enam mata.

Manakala Oman, yang menundukkan Taiwan 3-0 pada aksi pertama, berada di tangga kedua menerusi perbezaan gol berbanding Kyrgyzstan dan Taiwan pula di tangga tercorot kumpulan itu selepas kalah kedua-dua perlawanan pertamanya.

Malaysia berkelebihan dua jaringan selepas mengumpul lima gol dan dibolosi tiga kali manakala Oman (3-1) dan Kyrgyzstan (4-4).

Selepas beraksi pada pusingan akhir Piala Asia di Qatar Januari depan, Harimau Malaya akan menentang Oman pada aksi ketiga kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Muscat pada 21 Mac tahun depan.

Related posts

Leave a Comment