Coldplay juga sokong perjuangan Palestin

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan berbincang dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah yang sebelum ini menggesa penganjur membatalkan konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur yang dijadualkan esok.

Perdana Menteri berkata, ini disebabkan Coldplay adalah kumpulan yang menyokong perjuangan Palestin.

“Saya akan berbincang dengan mufti kerana ada pelobi-pelobi dari gerakan Palestin yang menyokong dan memberikan pandangan kepada Menteri Luar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) dan kepada pejabat saya mengapa dihalang kumpulan yang menyokong perjuangan Palestin daripada meneruskan pertunjukan.

“Oleh kerana ada beberapa isu lain yang tidak kita bersetuju, itu saya akan bincang semula,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai pendirian kerajaan dalam isu penganjuran konsert Coldplay susulan kenyataan dikeluarkan oleh Luqman sebelum ini.

Luqman baru-baru ini dalam kenyataannya dilapor berkata program itu bukan sahaja melalaikan bahkan tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat negara ini.

Menurutnya, band asal United Kingdom yang menyokong kumpulan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) itu jelas bertentangan dengan nilai murni serta budaya Malaysia.

Related posts

Leave a Comment