Lima pasukan pantau kempen calon PRK

KEMAMAN 18 Nov. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan lima pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya bagi memantau aktiviti calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, kata Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh.

Beliau berkata, semua kaedah dan bahan kempen dibenarkan selagi tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati, permusuhan atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan termasuk isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja.

Katanya, calon yang sudah membayar deposit bahan kempen pilihan raya juga diingatkan bahawa mereka tertakluk undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Ia meliputi bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti serta gambar pemimpin parti gabungan atau komponen.

Tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding dan gambar pemimpin parti politik komponen, gabungan atau pakatan pada bahan kempen pilihan raya,” katanya.

Selepas pengisytiharan calon bertanding dalam PRK itu hari ini, masa berkempen kini bermula sehingga 11.59 malam, 1 Disember ini.

SPR menetapkan 28 November sebagai tarikh mengundi awal dan 2 Disember bagi hari mengundi untuk PRK berkenaan.

PRK Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Pas).

Sebanyak 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Pada PRU15,  Che Alias menang dengan majoriti 27,179 undi selepas memperoleh 65,714 undi, menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.

Dua lagi calon pada PRU15 ialah Hasuni Sudin mewakili Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh 8,340 undi dan Rosli Ab Ghani daripada Parti Pejuang Tanah Air dengan 506 undi.

Related posts

Leave a Comment