KUALA LUMPUR 17 Nov. – Sebarang cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti 2022 hanya dibuat sekiranya didapati mempunyai kelompangan, kata Yang Dipertua Dewan Negara, Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata, RUU Anti Lompat Parti 2022 diluluskan sebelum ini adalah paling sesuai mengikut kepentingan negara setelah dibuat kajian teliti serta proses perbincangan dan libat urus yang intensif dan komprehensif dengan semua pihak berkepentingan.
“Pindaan Rang Undang-Undang juga memakan proses masa yang panjang dan perlu mendapatkan kelulusan 2/3 majoriti di Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas saranan meminda RUU Lompat Parti 2022 ini, beliau berpendapat tindakan boleh dibuat di peringkat dalam parti politik sendiri dengan mengadakan senarai kesalahan yang boleh menyebabkan keahlian parti seseorang tergugur secara automatik atas sebab pelanggaran syarat seperti di dalam senarai tersebut.
Sebelum ini, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhyiddin Yassin, dilaporkan menggesa supaya RUU Anti Lompat Parti dikaji semula berikutan terdapat kelemahan susulan tindakan empat Ahli Parlimen parti itu yang menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri, namun kekal bersama parti.
Empat Dewan Rakyat itu ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) turut menegaskan RUU Anti Lompat Parti diluluskan pada Julai 2022 itu telah digubal mengikut proses yang intensif melalui kajian dan libat urus komprehensif mengikut keperluan semasa negara.
Katanya, kajian untuk menggubal RUU ini telah dimulakan olehnya sejak mula berkhidmat sebagai Menteri Undang-Undang pada Ogos 2021.
“Kerana pada pemikiran saya, ia sangat perlu dan kritikal untuk kestabilan politik negara selepas pertukaran kerajaan pada tahun 2018 yang menyebabkan pertukaran tiga orang Perdana Menteri dan lebih 30 orang ahli politik juga telah bertukar parti,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa proses kajian ini termasuklah meneliti praktis negara-negara lain seperti India, United Kingdom, Singapura dan New Zealand dalam menangani isu ahli-ahli parti yang menukar keahlian politik di negara mereka.
