GAZA CITY: Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza meningkat kepada 11,320 orang, termasuk 4,650 kanak-kanak dan 3,145 wanita, manakala 29,200 lagi cedera.
Menurut kenyataan pejabat media kerajaan semalam sebanyak 3,600 orang lain masih tidak dapat dikesan, termasuk 1,755 kanak-kanak.
Pasa masa yang sama, seramai 198 pegawai perubatan, 22 anggota pertahanan awam dan 51 wartawan turut terbunuh dalam serangan itu.
Kenyataan itu juga mendakwa, pencerobohan Israel memaksa 25 hospital dan 52 pusat penjagaan kesihatan tidak beroperasi, manakala 55 ambulans menjadi sasaran tentera Israel.
Pejabat media berkata 40 pesakit meninggal dunia di Hospital Al-Shifa di Gaza City dalam tempoh lima hari lalu di tengah-tengah kepungan Israel dan kekurangan bahan api.
“Lapan puluh dua orang telah dikebumikan di dalam kubur besar-besaran di dalam kompleks perubatan kerana pendudukan, yang masih mengepung hospital sepenuhnya,” katanya.
Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza sejak serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober lalu.
Beribu-ribu bangunan, termasuk hospital, masjid dan gereja, telah rosak atau musnah dalam serangan Israel.
