GAZA: Kenyataan Rumah Putih bahawa kumpulan pejuang Hamas mempunyai pusat kawalan di Hospital Al-Shifa di Gaza menjadi ‘lampu hijau’ kepada Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai dengan menyasarkan kemudahan perubatan di wilayah berkenaan.
Hamas dalam satu kenyataan berkata, Amerika Syarikat (AS) memikul tanggungjawab secara langsung untuk membolehkan perang genosid Israel ke atas Gaza.
“Kenyataan ini memberi ‘lampu hijau’ kepada pendudukan Israel untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai dengan kejam yang menyasarkan hospital, dengan matlamat memusnahkan sistem penjagaan kesihatan Gaza dan memindahkan penduduk Palestin,” kata Hamas.
Reaksi itu susulan jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby mendakwa kumpulan Islam itu mempunyai “nod arahan dan kawalan” di Hospital Al-Shifa di Gaza.
Hamas didakwa menyimpan senjata di sana dan mereka bersedia untuk bertindak balas terhadap operasi tentera Israel terhadap kemudahan itu.
“Kami mendapat maklumat Hamas dan Jihad Islam Palestin menggunakan beberapa hospital di Semenanjung Gaza termasuk Al-Shifa dan terowong di bawahnya untuk menyembunyikan dan menyokong operasi ketenteraan mereka dan menahan tebusan,” katanya.
Kenyataan Rumah Putih muncul ketika tekanan meningkat ke atas Israel berhubung sekatannya terhadap pekarangan Al-Shifa yang luas, yang mana doktor berkata pesakit dan orang yang mencari perlindungan terkandas dalam keadaan yang mengerikan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekurang-kurangnya 2,300 orang terdiri daripada pesakit, kakitangan dan orang awam yang dipindahkan berada di dalam dan mungkin tidak dapat melarikan diri kerana pertempuran sengit berhampiran kemudahan itu.
Israel berkata ia tidak menyasarkan hospital itu sendiri, namun berikrar untuk memusnahkan Hamas sebagai tindak balas kepada serangan 7 Oktober.
