Qada puasa jika berbuka dua minit awal

YAN 8 April – Masjid Jame’ Badlishah Pekan Yan, memohon maaf atas kesilapan  melaungkan azan Maghrib dua minit sebelum masuk waktu sebenar pada hari Khamis 8 Ramadan bersamaan 30 Mac 2023.

Timbalan Pengerusi Masjid Jame’ Badlishah Ahmad Nasir, berkata kesilapan itu disebabkan berlakunya masalah teknikal pada paparan digital waktu azan di masjid berkenaan.

Justeru umat Islam di kawasan berkenaan yang bergantung kepada laungan azan Masjid Jame’ Badlishah untuk berbuka puasa pada 30 Mac lalu, diminta melakukan puasa ganti atau qada.

Ini susulan berlaku kesilapan apabila azan masjid itu dilaungkan dua minit lebih awal berbanding waktu berbuka ditetapkan iaitu pada pukul 7.28 malam.

“Saya mewakili seluruh pentadbir Masjid Jame’ Badlishah Pekan Yan memohon maaf atas kesilapan kami melaungkan azan Maghrib dua minit sebelum masuk waktu sebenar pada hari Khamis 8 Ramadan bersamaan 30 Mac 2023

Jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan Maghrib dari Masild Jame’ Badlishah Pekan Yan untuk berbuka puasa, sila maklum bahawa puasa tuan dan puan terbatal pada hari tersebut dan perlu diganti atau diqada,” katanya dalam kenyataan yang diedar kepada penduduk .

Menurut Ahmad, hukum menggantikan puasa itu bersandarkan pandangan Jumhur Ulama dari kalangan Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan dalam kalangan ramai ulama Hanbali yang menyatakan bahawa puasa itu batal dan wajib diqada.

“Jemaah boleh merujuk syarah hukum melalui Bayan Linnas Siri ke-97, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertarikh 18 Jun 2017 untuk penjelasan lanjut. Pihak masjid sekali lagi memohon maaf di atas kesilapan dan kesulitan yang berlaku,” katanya.

Related posts

Leave a Comment