90 peratus kes buli selesai dalam 15 hari

KUALA LUMPUR 14 Nov. –  Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan setiap aduan mengenai kes buli di sekolah akan disiasat mengikut prosedur satu hari aduan, tiga hari siasatan dan tujuh hari penyelesaian.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penyelesaian kes buli adalah 90 peratus selesai dalam tempoh 15 hari selepas diadu melajui portal Aduan Buli manakala bagi kes yang belum selesai adalah kes yang memerlukan siasatan lanjut melebihi 15 hari.

“Peningkatan ini Yang Berhormat, kalau kita ambil dari segi pendekatan advokasi, akses, maknanya penyebaran tentang akses kita untuk murid dan ibu bapa waris, untuk mengadu, maknanya lebih terbuka.

Menurutnya, kementerian juga menetapkan semua kes buli perlu dilaporkan kepada pengetua untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Mohammed Taufiq Johari (PH – Sungai Petani) yang bertanya berkaitan kes buli di sekolah dan langkah intervensi daripada KPM.

Tambah Fadhlina, dari segi intervensi, KPM mempunyai Guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah-sekolah untuk menangani isu tersebut.

“Guru ini akan memberikan intervensi bersesuaian yang terkait rapat dengan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan murid terjaga secara berterusan.

“Ia adalah sebagai bentuk perlindungan sementara di sekolah bagi melindungi mangsa semasa siasatan dijalankan. Semua kes buli juga perlu dilaporkan kepada pengetua untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Related posts

Leave a Comment