Selangor bentang Belanjawan 2024 RM2.53 b

SHAH ALAM 10 Nov. – Menteri Besar Amirudin Shari, hari ini, membentangkan Belanjawan 2024 berjumlah RM2.53 bilion merangkumi RM1.33 bilion atau 52.6 peratus perbelanjaan mengurus dan RM1.2 bilion atau 47.4 peratus perbelanjaan pembangunan.

Ketika  membentangkan belanjawan itu beliau berkata, dengan mengambil kira jangkaan hasil negeri berjumlah RM2.2 bilion dan anggaran perbelanjaan RM2.53 bilion, Belanjawan 2024 akan mengalami defisit berjumlah RM330 juta.

Bagaimanapun katanya , defisit berkenaan lebih rendah berbanding tahun 2023 iaitu pengurangan sebanyak RM120 juta.

“Walaupun Belanjawan Defisit sejak enam belanjawan lalu, kerajaan negeri akan mengambil langkah-langkah mengurangkan jumlah defisit kepada satu jumlah yang munasabah menerusi instrumen kawalan perbelanjaan serta amalan prinsip tadbir urus kewangan yang baik tanpa menjejaskan output dan impak perbelanjaan,” katanya.

Amirudin berkata, kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2.2 bilion berdasarkan kepada rekod pencapaian yang mana sebelum ini hasil berjumlah RM2 bilion berjaya dikutip pada Ogos 2022 dan September 2023.

“Antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun depan adalah Premium Tanah iaitu sebanyak RM890.94 juta bersamaan 40.5 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.

“Kerajaan negeri juga menjangkakan penyumbang kedua terbesar adalah daripada hasil cukai tanah iaitu sebanyak RM622.65 juta bersamaan 28.3 peratus.

“Penyumbang ketiga terbesar adalah daripada Pemberian Persekutuan iaitu berjumlah RM212.96 juta bersamaan 9.7 peratus daripada pendapatan tahun 2024,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, 2024 dianggap sebagai tahun bertuah bagi kerajaan negeri yang dijangka dapat melunaskan sepenuhnya hutang-hutang dengan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, berdasarkan rekod terkini, baki hutang kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM19,207,475.78 yang terdiri daripada pinjaman Projek Bekalan Air dan Skim Amanah Saham Selangor (ASAS).

“Komitmen penyelesaian liabiliti hutang oleh kerajaan negeri juga rendah yang hanya membabitkan penyelesaian baki ansuran akhir Skim ASAS yang berjumlah RM1,893,379.47.

“Sementara baki pinjaman Projek Bekalan Air sebanyak RM17,314,096.31 secara jelasnya termaktub dalam Perjanjian Penyelesaian Global berkenaan penstrukturan industri air Selangor akan dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang hanya memerlukan tindakan urusan dokumentasi yang mana sedang dalam tindakan PAAB untuk diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata dengan kelebihan kebebasan kewangan ini, kerajaan negeri berjaya membuktikan tatakelola terbaik dalam menguruskan sumber kewangan tanpa menjejaskan ketangkasan perkhidmatan dalam meningkatkan darjat hidup rakyat negeri Selangor melalui belanjawan 2024.

Katanya, Belanjawan Selangor 2024 yang bertemakan ‘Selangor Mandiri: Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan’ membabitkan empat teras yang memfokuskan kepada pelaburan berkualiti, pendidikan bestari, kebajikan rakyat serta mengangkat kesatuan ummah.

Related posts

Leave a Comment