Siti Mastura bakal hadapi tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng melantik Sankara Narayanan Nair bagi memulakan prosiding undang-undang dan tindakan jenayah terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad.

Katanya, peguam akan memulakan prosiding terhadap Siti Mastura, yang didakwa mengeluarkan ucapan kebencian, pembohongan serta fitnah jahat terhadap beliau dalam satu program di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu.

Mastura didakwa mengaitkan Ahli Parlimen Bagan itu, mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemimpin komunis, Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

“Beliau secara terang-terangan menggunakan hubungan kekeluargaan yang sebenarnya tidak wujud, hanya untuk menimbulkan ketakutan terhadap kedua-dua DAP dan orang Cina, adalah jelas bersifat perkauman dan ekstremis.

“Apa yang membuatkan kelakuan Siti Mastura yang tidak bertanggungjawab ini menjadi lebih teruk ialah tiada langsung sebarang rasa sesal daripada beliau bahawa ucapannya penuh dengan kebencian dengan pembohongan, bersifat perkauman dan ekstremis,” kata Guan Eng dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Mastura enggan menunjukkan bukti mengenai dakwaan hubungan kekeluargaan tersebut malah tidak langsung menarik balik atau memohon maaf di atas pembohongan dan fitnah jahatnya.

“Turut mengesankan bagaimana sikap penyokong Pas yang memuji Siti Mastura, hanya kerana pembohongan beliau telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan pemimpin dan penyokong DAP, serta rakyat Malaysia.

Penyokong Pas langsung tidak mempedulikan fakta bahawa beliau sebenarnya telah berbohong atau membuat kenyataan berbaur perkauman dan ekstremis selagi kenyataan tersebut menentang pemimpin DAP,” katanya.

Sebelum ini, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan memberi tempoh 48 jam kepada Siti Mastura untuk mengemukakan bukti terhadap dakwaan beliau.

Menurut Guan Eng, dakwaan itu antaranya mengaitkan beliau dan bapanya, Tan Sri Lim Kit Siang sebagai sepupu kepada Chin Peng dan Kuan Yew.

Selain itu, katanya, Siti Mastura turut mendakwa beberapa pimpinan DAP lain iaitu, Anthony Loke, Nga Kor Ming, Datuk Ngeh Koo Ham serta Teresa Kok, mempunyai pertalian saudara denggannya.

Pada masa yang sama, Guan Eng menggesa Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin menyatakan pendirian mereka secara terbuka terhadap kenyataan yang dibuat Siti Mastura.

Related posts

Leave a Comment