Israel serbu Masjid Al-Aqsa

TIDAK sampai 24 jam gencatan senjata diumumkan, rejim Zionis melanggar persetujuan tersebut apabila polis Israel bertindak menyerbu ruang sekitar Masjid Al-Aqsa dan melepaskan gas pemedih mata ke arah rakyat Palestin.

Al-Jazeera melaporkan, sebaik selepas solat Jumaat, jemaah melaungkan slogan meraikan gencatan senjata antara Hamas dan Israel.

Namun, polis kemudiannya bertindak melepaskan bom asap dan gas pemedih mata kepada jemaah bahkan mereka turut naik ke bumbung Masjid Al-Qibli serta mengacu senapang ke arah orang awam yang berada berhampiran.

Tindakan terbaharu itu membuktikan Zionis, sama juga seperti dahulu, tidak langsung menghormati gencatan senjata yang dipersetujui Israel dan dua kumpulan pejuang utama di Gaza

Terdahulu, laporan agensi berita Turki Anadolu melaporkan ribuan warga Palestin dari wilayah Timur Baitulmuqaddis membanjiri kawasan sekitar Masjid Al-Aqsa sejak pagi Jumaat untuk meraikan gencatan senjata.

Gencatan senjata itu berkuatkuasa pada hari Jumaat, pukul 2 pagi waktu tempatan, susulan 11 hari serangan udara rejim Zionis ke atas Gaza.

Related posts

Leave a Comment