“Lembaga Disiplin akan hukum tindakan mereka”

KUALA LUMPUR 9 Nov. –  Lembaga Disiplin Bersatu yang akan bersidang dalam masa terdekat akan menentukan tindakan ke atas dua Ahli Parlimen parti itu iaitu Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) yang secara terbuka mengumumkan sokongan kepada kepemimpinan  Anwar Ibrahim.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, berkata Lembaga Disiplin akan menentukan hukuman terhadap mereka yang disifatkan amat tidak bertanggungjawab, bertentangan dengan semangat dan perlembagaan parti dan melanggar peruntukan sedia ada.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) di sini, malam ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden, Ahmad Faizal Azumu; dua Naib Presiden,  Dr Radzi Jidin dan  Ronald Kiandee; Setiausaha Agung, Hamzah Zainudin dan Ketua ARMADA, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Muhyiddin mengakui apa yang dilakukan oleh ahli Parlimen itu menimbulkan prasangka terhadap parti.

“Saya nak nyatakan kepada penyokong PN umumnya dan Bersatu khasnya, tindakan mereka ini tidak mendapat sokongan kita.

“Kita sedar hampir semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertanding atas tiket PN mendapat sokongan besar daripada sebahagian besar pengundi terutama dalam kalangan pengundi Melayu, bukan Bumiputera dan sedikit dalam kalangan bukan Melayu.

“Untuk mempertahankan prinsip yang diperjuangkan, kita tidak berkompromi dengan tindakan biadab, tidak bertanggungjawab dan bercanggah dengan prinsip perjuangan Bersatu.

“Atas jaminan ini, kita akan lakukan apa yang sesuai supaya hukuman dapat dikenakan terhadap mereka dan kita mohon rakyat terus memberi kepercayaan dan keyakinan untuk kita menjadi pembangkang yang bertanggungjawab dan berintegriti,” katanya.

Setakat ini, empat ahli Parlimen pembangkang daripada PN menyatakan sokongan secara terbukaterhadap kepemimpinan Perdana Menteri.

Ia bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober, diikuti Ahli Parlimen Labuan,  Dr Suhaili Abdul Rahman (30 Oktober) yang masing-masing digantung keahlian dan semua jawatan empat dan enam tahun.

Ini diikuti Mohd Azizi pada 7 November dan Zahari pada hari berikutnya.

Related posts

Leave a Comment