Sejuta dijangka hilang tempat tinggal

BAITULMUQADDIS – Kira-kira sejuta penduduk Palestin dijangka hilang tempat tinggal, melarikan diri ke selatan susulan serangan besar-besaran yang bakal dilancarkan ke atas Gaza.

Seorang pegawai kanan dari COGAT, sebuah badan Kementerian Pertahanan Israel yang menyelia hal ehwal awam di wilayah Palestin, berkata, kira-kira 70,000 penduduk Palestin sudah meninggalkan utara Gaza sejak kebelakangan ini.

Kebanyakan daripada lebih dua juta penduduk Gaza sudah kehilangan tempat tinggal sekurang-kurangnya sekali sepanjang tempoh perang yang hampir dua tahun sejak 2023.

Israel terus memperhebat operasi termasuk memanggil puluhan ribu askar simpanan untuk memperkukuh kekuatan ketenteraannya menjelang serangan besar ke atas Bandar Gaza, selepas hampir dua tahun peperangan.

Walaupun tekanan antarabangsa supaya perang dihentikan semakin meningkat, Israel meneruskan operasi ketenteraan bagi menguasai bandar terbesar di Semenanjung Gaza itu.

Pegawai COGAT berkata, kawasan kemanusiaan yang dirancang akan ditubuhkan, bermula dari kem pelarian di tengah Gaza ke kawasan selatan Al-Mawasi dan ke arah timur Semenanjung itu.

Israel sudah menetapkan kawasan pantai Al-Mawasi sebagai zon kemanusiaan pada awal perang, tetapi tenteranya berulang kali menyerang kawasan itu.

Pada pertengahan Ogos, jurucakap pejabat hak asasi manusia PBB Thameen al-Kheetan berkata rakyat Palestin di Al-Mawasi berdepan akses sangat terhad kepada perkhidmatan dan bekalan penting, termasuk makanan, air, elektrik dan khemah.

Sementara itu, ratusan penunjuk perasaan Israel turun ke jalanan di sini, bagi menggesa gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan selepas hampir dua tahun perang.

Nnn

Related posts

Leave a Comment