Lebih ramai wakil pembangkang sokong PM?

KUALA LUMPUR 9 Nov. –  Kerajaan perlu bersedia berdepan realiti politik baharu susulan lebih ramai lagi Ahli Parlimen pembangkang, khususnya daripada Bersatu dijangka mengisytiharkan sokongan kepada  Anwar Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, sokongan telah ditunjukkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang kepada Perdana Menteri itu disifatkan sangat positif dan ia perlu dilihat dengan sangkaan baik.

“Kita berpandangan bukan hanya empat orang (Ahli Parlimen pembangkang) ini saja… tetapi kita menjangka mungkin lebih daripada itu yang akan memberikan dukungan kepada Perdana Menteri.

Kita mesti bersangka baik dalam dukungan yang diberikan,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu kepada pemberita di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan empat Ahli Parlimen Bersatu, iaitu Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang),  Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Semalam Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, dilaporkan berkata,
Perdana Menteri perlu berhati-hati dengan sokongan yang dinyatakan beberapa Ahli Parlimen pembangkang, bagi memastikan agenda Reformasi Parlimen tidak tersasar daripada matlamat.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pula mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat, atas dakwaan wujud amalan rasuah melalui usaha menarik sokongan Ahli Parlimen pembangkang dengan memberikan peruntukan.

Mengulas dakwaan berkenaan, Ahmad Zahid mencabar bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu supaya mengemukakan bukti.

Dalam pada itu, beliau berkata, kebanyakan Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan terbabit adalah bekas ahli UMNO, dan pihaknya akan berbincang dengan pemimpin di peringkat bahagian sama ada mereka boleh kembali kepada parti berkenaan.

Namun, katanya, UMNO di empat bahagian yang menerima dukungan Ahli Parlimen Bersatu itu tidak harus berasa selesa, sebaliknya pengaruh di akar umbi perlu diperkuat bagi mengembalikan sokongan pengundi.

“Kita belum terfikir dalam perkara itu, dan akan berbincang dengan pemimpin di bahagian atau kawasan Parlimen berkenaan untuk kita menentukan haluan baharu.

“Ini adalah suatu perkembangan politik yang baharu di negara ini. Oleh itu, biarpun mereka membantu dan menyokong Perdana Menteri, UMNO sebagai sebuah entiti politik harus memperkuatkan pengaruh di akar umbi bagi mengembalikan sokongan pengundi serta rakyat kepada siapa saja yang akan dicalonkan mewakili UMNO dan BN bagi kawasan berkenaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment