KUALA LUMPUR 8 Nov. – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mendakwa tindakan empat ahli Parlimen pembangkang mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan adalah disebabkan kegagalan mendapat peruntukan pembangunan kawasan (CDF).
Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam kenyataan menyatakan rasa dukacita kerana sehingga kini Perdana Menteri, Anwar Ibrahim masih belum memberikan peruntukan itu kepada Ahli-Ahli Parlimen terutama Ahli Parlimen pembangkang.
“Atas sebab itu beberapa Ahli Parlimen seperti Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang, dan terbaru Jeli mengisytiharkan sokongan kepada kepemimpinan Anwar dan Kerajaan Persekutuan atas alasan keperluan mendapatkan peruntukan.
“Penahanan CDF untuk turun kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) adalah sesuatu yang tidak adil yang diamalkan oleh Kerajaan Madani kerana peruntukan terbabit diberikan kepada Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan,” kata kenyataan itu.
Justeru Bersih menggesa kerajaan untuk memberikan CDF kepada wakil rakyat tanpa syarat dan tidak berat sebelah.
Bersih tidak setuju peruntukan CDF untuk Ahli Parlimen pembangkang diikatkan dengan syarat-syarat tertentu kerana peruntukan ini patut diberi sebagai hak Ahli Parlimen tanpa mengira parti.
Menurut kenyataan itu, Ahli Parlimen PN juga dipilih oleh rakyat dan kerajaan Madani perlu menghormati pilihan pengundi kawasan pembangkang dan tidak menggunakan peruntukan sebagai tawar-menawar untuk menarik sokongan Ahli Parlimen pembangkang.
“Semua Ahli Parlimen PN yang menyatakan pendirian untuk menyokong Kerajaan Persekutuan menunjukkan realiti malang politik di Malaysia hari ini. Mereka yang sehaluan dengan kerajaan mendapat wang awam dan sebaliknya mereka yang tidak menyokong kerajaan akan dihukum dengan ditahan peruntukan.
Amalan tidak adil itu yang bermula di zaman Barisan Nasional (BN) dan disambung zaman PN sudah dibantah selama ini dan dijanji penghapusannya oleh Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.
Dalam pada itu Bersih menyeru Kerajaan Madani dan PN menjalinkan perjanjian persefahaman (MoU) untuk reformasi institusi yang menjanjikan kestabilan politik dan gelanggang permainan yang rata untuk semua pihak, sebagaimana yang berlaku antara kerajaan Keluarga Malaysia dan PH pada 13 September 2021.
“Perkara itu akan membolehkan kerajaan dan pembangkang bekerjasama dan bersaing secara profesional dalam mengatasi cabaran ekonomi dan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat.
“MoU boleh merangkumi pelbagai items reformasi, selain pengkanunan CDF setara untuk semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri juga pendanaan awam untuk semua parti mengikut peratusan undi, pengiktirafan Kabinet bayangan, pendalaman (deepening) reformasi Parlimen, Akta Parlimen Berpenggal Tetap, serta pemisahan Badan Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Jika kerajaan dan PN keberatan untuk mengambil langkah pertama untuk menggerak perundingan MoU, kedua-dua pihak boleh meminta bantuan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaffar yang bertanggungjawab mengotakan kebanyakan reformasi institusi dalam MoU 2021-2022
Manakala Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pula boleh berperanan sebagai ‘orang tengah jujur’ untuk membawa perdamaian demi kepentingan seluruh rakyat negara ini.
