Lompat katak selesai, timbul pula blok ‘MP gantung’

SELEPAS berakhir episod lompat parti, berikutan akta yang menghalang wakil rakyat berbuat demikian, politik Malaysia di bawah Kerajaan Perpaduan memasuki satu era baharu. Tidak melompat, tidak keluar parti sebaliknya hanya beralih sokongan.

Setakat hari ini empat orang anggota Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu mengesahkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Bermula dengan Iskandar Dzulkarnain Abdul (PN-Kuala Kangsar) diikuti Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan), semalam Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) dan hari ini Zahari Kechik (PN-Jeli).

Tidak mustahil angka itu akan bertambah, sama seperti aksi melompat parti. Cuma ini ‘lebih selamat’ kerana tidak ada desakan letak jawatan atau keluar parti. Masing-masing cintakan jawatan dan tidak rela kehilangan begitu sahaja.

Menariknya alasan yang diberi oleh mereka untuk beralih sokongan hampir sama, iaitu bagi menjaga kebajikan rakyat di kawasan masing-masing dan terus mendapat limpahan pembangunan termasuk kemudahan infrastruktur.

Sama ada wujud ‘broker politik’ yang menjanjikan mereka habuan berbentuk projek, wang atau diugut akan dikenakan tindakan undang-undang, perkara itu elok diserahkan kepada pihak berkuasa atau pimpinan parti menjalankan siasatan.

Apa yang pasti mesej mereka jelas, bahawa tanpa sokongan peruntukan dan pembangunan oleh kerajaan yang maha berkuasa, kawasan mereka akan ‘susah’. Pilihan yang ada sokong kerajaan.

Tidak dinafikan ada logiknya alasan yang diberi oleh wakil-wakil rakyat berkenaan selepas isu peruntukan kepada pembangkang masih menimbulkan persoalan. Setiap wakil rakyat memerlukan peruntukan, kecuali bagi wakil rakyat yang kaya raya.

Semalam, di Pulau Pinang, kerajaan pimpinan DAP memutuskan wakil rakyat kerajaan akan mendapat RM500,000 setahun manakala pembangkang (PN) hanya diberi RM60,000. Ibarat langit dengan bumi.

Diskriminasi atau pilih kasih selepas pilihan raya menyebabkan pihak yang menjadi pembangkang seperti diabaikan. Gambaran yang diberi, pembangkang akan ditinggalkan manakala penyokong kerajaan akan mendahului segala-galanya.

Secara tidak langsung kawasan pembangkang akan ‘dihukum’ sedangkan realitinya tidak ada siapa boleh menjangka parti mana boleh menang yang dapat membentuk kerajaan dan parti mana yang bakal jadi pembangkang.

Apakah gambaran atau mesej yang cuba diberikan oleh pemerintah kepada rakyat terutama pengundi-pengundi yang akan memilih pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang? Siapa boleh bentuk kerajaan? PH-BN atau PN atau gabungan lain?

Harus diingat, setiap pengundi mengharapkan calon yang mereka undi memenangi pilihan raya seterusnya berjaya membentuk kerajaan. Namun sistem politik kita menunjukkan parti yang menang besar belum terjamin membentuk kerajaan.

Demokrasi memberi hak kepada rakyat memilih. Amat malang jika dalam pembentukan sesebuah kerajaan, rakyat atau pengundi menjadi mangsa atau dihukum kerana status wakil rakyat di satu-satu kawasan. Adakah ini satu transformasi demokrasi? Atau masih berpegang kepada politik lama?

Lebih malang jika tindak tanduk berhubung ‘layanan’ kerajaan kepada pembangkang menjurus kepada pelakuan rasuah, secara langsung atau tidak.

Seperti kenyataan Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim baru-baru ini dan diulangi lagi hari ini iaitu beliau mempersoalkan kewajaran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang dikenakan syarat.

“Kerajaan sekarang ini antirasuah, tapi cara buat kerja menggalakkan rasuah.
Kalau mana-mana ahli Parlimen sini, sokong, kami beri peruntukan. Apakah itu bukan rasuah?” katanya di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Kebimbangan Shahidan ini perlu diberi perhatian supaya rakyat yang juga pengundi tidak terjebak dalam politik ugutan atau sogokan menyebabkan mereka tidak bebas untuk memilih wakil mereka.

Berdasarkan situasi semasa, tidak dinafikan jika peruntukan dan limpahan pembangunan menjadi ‘bebanan dan hambatan’ wakil rakyat pembangkang, maka, Dewan Rakyat akan mempunyai satu ‘blok baharu’ iaitu blok MP digantung.

Setakat ini sudah ada tiga anggota Parlimen Bersatu yang digantung dan pastinya disusuli seorang lagi. UMNO atas tiket BN juga ada ahli Parlimen digantung iaitu Hishammuddin Hussein (Sembrong) dan Shahelmy Yahya (Putatan).

Dzulkarnain Abdul (PN/Bersatu-Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (PN/Bersatu-Labuan).

Harus diingat, wakil rakyat yang berpaling sokongan terikat dengan peruntukan larangan ahli Parlimen bertukar parti.

Mana-mana ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti politik atau mana-mana ahli Dewan Rakyat yang meninggalkan parti politik yang beliau menjadi calon semasa pilihan raya untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat Bebas, akan terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi.

Bagaimanapun seseorang ahli Parlimen tidak akan kehilangan kerusinya jika wakil rakyat itu dipecat daripada parti atau sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.

Maka dalam hal ini, tidak ada wakil rakyat berani keluar parti atau lebih mudah meletak jawatan manakala parti politik pula tidak memberi laluan mudah dengan memecat wakil rakyat sebaliknya dihukum gantung. Ini situasi ‘menang-menang’.

Mungkin wakil rakyat berkenaan menunggu masa dan ketika yang sesuai untuk meletak jawatan seterusnya membuka ruang untuk Pilihan Raya Kecil (PRK), yang akan memberi kemenangan mudah bagi menguatkan kedudukan kerajaan Madani.

Sementara menunggu detik itu, maka Iskandar Dzulkarnain, Suhaili, Mohd Azizi Abu dan Zahari tetap mencintai dan bersama Bersatu.

Sama-sama kita nantikan apa mesej yang tersurat dan tersirat dalam episod beralih sokongan ini. Adakah demokrasi kita semakin ke hadapan atau sebaliknya.Adakah demokrasi itu ditentukan pengundi, wakil rakyat atau kerajaan?

 

Related posts

Leave a Comment