BEIRUT – Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran melancarkan lebih 180 peluru berpandu balistik ke arah Israel pada malam Selasa sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin pejuang yang disokong Tehran.
Sebelum ini, tentera Israel mendakwa bahawa Iran mula melancarkan peluru berpandu ke kawasan Palestin yang diduduki rejim itu manakala IRGC menyatakan ia mula menyerang sasaran ketenteraan penting dengan puluhan peluru berpandu.
Rakaman video dari beberapa bandar di Iran seperti ibu negara Tehran menunjukkan bahawa serangan peluru berpandu telah dilancarkan terhadap entiti Zionis.
Tehran, Isfahan, Tabriz, Shiraz, Khorramabad, Arak dan lain-lain di seluruh Iran menyaksikan pelancaran misil ke udara.
Dalam satu kenyataan, IRGC berkata serangan peluru berpandu itu adalah tindak balas terhadap pembunuhan yang dilakukan oleh Zionis dan jenayah di Palestin dan Lubnan.
“Sebagai tindak balas ke atas pemergian Ismail Haniyeh, Hassan Nasrallah dan Komander IRGC Abbas Nilforushan, kami menyasarkan pusat wilayah yang diduduki,” kata IRGC dalam satu kenyataan.
