SEMENANJUNG GAZA: Hampir sebulan serangan, kematian akibat pengeboman Israel di wilayah Palestin telah melebihi 10,000 orang ketika tentera Israel meneruskan serangan sengit dengan menyasarkan pejuang Palestin di Gaza.
Jumlah kematian 10,022 kematian diumumkan dalam sidang media di Gaza oleh jurucakap kementerian kesihatan, Ashraf al-Qidreh.
Menurut kementerian kesihatan Hamas, majoriti mereka yang terbunuh di Gaza sejak permulaan perang adalah orang awam, termasuk lebih 4,000 kanak-kanak.
Lebih 200 orang maut dalam serangan semalam, sehari selepas melaporkan jumlah kematian lebih 9,770, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula berikrar tidak akan berhenti walaupun antarabangsa mendesak untuk gencatan senjata.
Dilaporkan tentera darat dengan kereta kebal kini membanjiri separuh utara Semenanjung Gaza dan mengetatkan pengepungan Kota Gaza, namun ratusan ribu orang awam kekal di utara walaupun digesa Israel untuk berpindah.
Dalam pada itu, sekutu Israel, Amerika Syarikat (AS) menghantar diplomat tertingginya Antony Blinken dalam jelajah Asia Barat, yang mendapat kecaman keras terhadap Israel, termasuk di perhentian terbarunya di Turkiye.
Ketua-ketua agensi utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan kenyataan bersama menggesa gencatan senjata di dalam wilayah 2.4 juta orang di mana Israel memutuskan kebanyakan bekalan air, makanan dan bahan api.
“Selama hampir sebulan, dunia memerhatikan situasi yang berlaku di Israel dan wilayah Palestin yang diduduki dalam keadaan terkejut dan ngeri melihat jumlah nyawa yang terkorban.
“Kami memerlukan gencatan senjata kemanusiaan segera. Sudah 30 hari. Cukuplah. Ini mesti dihentikan sekarang,” menurut kenyataan bersama itu.
Bagaimanapun, jurucakap tentera Israel, Jonathan Conricus, tetap tidak mengendahkan gesaan itu dan mengulangi agar orang awam meninggalkan zon perang bandar.
