Quek Leng Chan bilionair Malaysia

KUALA LUMPUR 7 April – Senarai bilionair Forbes ke-35 menyenaraikan pengasas bersama Hong Leong Group, Quek Leng Chan sebagai bilionair paling kaya di negara ini dengan nilai bersih AS$9.7 bilion (RM40 bilion).

Ini diikuti oleh T Ananda Krishnan (AS$5.8 bilion); dan pengasas Public Bank Bhd, Teh Hong Piow (AS$5.7 bilion).

Empat muka baharu dari Malaysia turut  disenaraikan tahun ini meskipun dunia berdepan pandemik Covid-19.

Ia melibatkan adik beradik Tan dari MR DIY Group (M) Bhd iaitu Tan Yu Yeh dan Tan Yu Wei; Pengerusi Eksekutif Westports Holdings Bhd, Tan Sri G Gnanalingam serta pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Greatech Technology Bhd, Tan Eng Kee.

Nilai kekayaan bersih Yu Yeh dianggarkan kira-kira AS$1.8 bilion (RM7.4 bilion) manakala Yu Wei dianggarkan AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion).

Gnanalingam pula, Forbes ke-35 menganggarkan nilai kekayaan bersih dimiliki ahli perniagaan itu adalah kira- kira AS$1.7 bilion (RM7 bilion).

Sementara, Eng Kee yang mengasaskan syarikat pengeluar peralatan automasi kilang di Pulau Pinang mempunyai kekayaan bersih AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion).

Turut disenaraikan adalah bilionair sarung tangan iaitu Pengerusi Hartalega Holdings Bhd, Kuan Kam Hon dan keluarganya (AS$3.9 bilion) serta pengasas Top Glove Corp Bhd, Tan Sri Dr Lim Wee Chai (AS$3.5 bilion).

Bilionair lain dari Malaysia termasuk Pengerusi Genting, Lim Kok Thay (AS$2.7 bilon) dan hartawan Bumiputera, Syed Mokhtar Albukhary (AS$1.2 bilion)

Di peringkat global, Ketua Pegawai Eksekutif Amazon, Jeff Bezos kekal sebagai individu terkaya di dunia dengan nilai bersih AS$177 bilion (RM730 bilion).

Senarai bilionair Forbes 2021 menamakan 2,755 individu, termasuk 493 pendatang baharu.

Menerusi senarai tersebut, jumlah jutawan wanita meningkat kepada 328 orang berbanding 241 pada 2020.

Berikut senarai 10 individu terkaya di peringkat global:

1. Ketua Pegawai Eksekutif Amazon Jeff Bezos

Kekayaan bersih: AS$177 bilion (RM730 bilion)

2. Pemilik Tesla, Elon Musk

Kekayaan bersih: US$151 bilion (RM623 bilion)

3. Peruncit mewah Bernard Arnault dan keluarga

Kekayaan bersih: AS$150 bilion (RM618 bilion)

4. Pengasas bersama Microsoft, Bill Gates

Kekayaan bersih: AS$124 bilion (RM511 bilion)

5. Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg

Kekayaan bersih: AS$97 bilion (RM400 bilion)

6. Ahli perniagaan Amerika Syarikat (AS), Warren Buffett

Kekayaan bersih: AS$96 bilion (RM396 bilion)

7. Ketua Pegawai Teknologi dan pengasas Bersama Oracle, Larry Ellison

Kekayaan bersih: AS$93 bilion (RM384 bilion)

8. Larry Page

Kekayaan bersih: AS$91.5 bilion (RM378 bilion)

9. Saintis komputer dan usahawan internet Amerika Syarikat (AS), Sergey Brin

Kekayaan bersih: AS$89 bilion (RM367 bilion)

10. Pengarah urusan dan pemegang saham terbesar Reliance Industries Ltd, Mukesh Ambani

Kekayaan bersih: AS$84.5 bilion (RM349 bilion)

Related posts

Leave a Comment