Sultan Nazrin hargai kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah

KUALA KANGSAR 5 Nov. – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Al-Sultan Abdullah Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah atas kebijaksanaan baginda berdua mengangkat kemuliaan dan kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong.

Titah Sultan Perak, Al-Sultan Abdullah akan tercatat dalam sejarah menghadapi cabaran berat yang tidak ada duluan ketika bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

“Semoga baginda berdua dilimpahi rahmat Ilahi dalam keadaan keafiatan, semoga segala amal yang disempurnakan dikurniakan Ilahi ganjaran dunia, ganjaran akhirat,” titah Sultan Perak.

Menurut baginda, Al-Sultan Abdullah telah membuktikan Raja Pemerintah bukan simbol perpaduan yang abstrak, tetapi berperanan sebagai payung penyatuan dan pengikat antara rakyat, negara dan takhta.

Buktinya, titah baginda, adalah semasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menjayakan program ‘Kembara Kenali Borneo’, melawat Sabah dan Sarawak pada 3 hingga 13 September lalu.

“Rakyat daripada pelbagai lapisan hidup berpanas dan berhujan, membuktikan rasa kasih dan taat setia menyambut keberangkatan baginda. Baginda berdua berperanan bagaikan ibu dan ayah kepada setiap rakyat Malaysia,” titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena sambutan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-67 di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, hari ini.

Titah baginda, Al-Sultan Abdullah berurusan dengan empat Perdana Menteri dan empat pasukan Jemaah Menteri, di samping memperkenankan lantikan tiga Perdana Menteri.

“Dalam tempoh pemerintahan baginda, dunia dilanda wabak Covid-19, yang memerlukan rakyat di negara ini dikenakan perintah kawalan pergerakan.

“Semoga baginda berdua dilimpahi rahmat Ilahi dalam keadaan keafiatan, semoga segala amal yang disempurnakan dikurniakan Ilahi ganjaran dunia, ganjaran akhirat,” titah Sultan Perak.

Sultan Nazrin bertitah, ketika berhadapan isu-isu penting negara, baginda telah mengamalkan budaya syura yang tinggi, menjemput Raja Pemerintah dari negeri-negeri untuk bermesyuarah mencari persefahaman dan kata sepakat dalam semangat gunung sama didaki, berat sama dipikul.

Menurut Sultan Perak, sifat Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menyantuni rakyat bukan sahaja merapatkan hubungan rakyat dengan Raja, malah memperkukuhkan hubungan Sabah dan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan.

“Juga meningkatkan penghargaan rakyat kepada institusi Raja,” titah baginda lagi.

Al-Sultan Abdullah akan menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari 2024.

Related posts

Leave a Comment