KUALA KANGSAR 5 Nov. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan semua pihak agar berhenti berlumba mencari keburukan, saling mengaibkan dan menyebar fitnah, meruntuh dan memusnahkan.
Begitu juga konspirasi jatuh menjatuhi perlu dihentikan agar dunia lebih aman, negara lebih tenteram dan rakyat hidup lebih sejahtera.
“Allah mencipta manusia memiliki hati. Jauh di lubuk hati setiap manusia, terkandung perasaan keinsanan, perasaan belas, perasaan kasih sayang.
“Terkandung di mata hati, perasaan kemanusiaan dan keinsanan yang harus digabungkan dan dijelmakan secara kata-kata dan perbuatan.
“Hentikan perlumbaan mencari keburukan, hentikan perbuatan aib mengaibkan, hentikan kerja-kerja menyebar fitnah, hentikan usaha meruntuh dan memusnahkan.
“Hentikan konspirasi jatuh menjatuhi agar dunia lebih aman, negara lebih tenteram dan rakyat hidup lebih sejahtera,” titah baginda.
Sultan Perak bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena sambutan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-67 di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, hari ini.
Sultan Nazrin juga meminta Menteri Besar Perak serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menjunjung setia kepercayaan baginda dan tidak mengecewakan amanah yang diberikan rakyat demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Rakyat jangan terus dibiarkan menampi nyiru harapan sedangkan janji tidak berisi. Harapan rakyat yang mahukan pemerintahan yang berlandaskan undang-undang, berintegriti, bersih rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa hendaklah direalisasikan,” titah baginda.
Usaha merealisasikan harapan rakyat itu, titah Sultan Perak, perlu digalas secara bersama oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), hakim, ulama, umara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta badan-badan beruniform.
“Masing-masing diberikan amanah untuk membantu supaya negeri ini dimakmurkan dan warga hidup sejahtera,” titah Sultan Perak.
Titah baginda, seruan sama juga kepada pihak swasta, badan sukarela, badan kebajikan, pertubuhan belia, badan sukan serta rakyat keseluruhan agar saling bekerjasama memperlengkapkan usaha pembangunan dirintis kerajaan.
(Foto SUK Perak)
