Malaysia yakin FDI dari Jepun melebihi RM30 bilion

PUTRAJAYA 5 Nov. –  Kerajaan yakin pelaburan langsung asing (FDI) dari Jepun akan melebihi RM30 bilion (AS$6.33 bilion) tahun ini, berikutan keyakinan tinggi pelabur negara berkenaan terhadap Malaysia, kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata keyakinan itu juga berdasarkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkasakan lagi hubungan dua hala khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Anwar dalam sidang media bersama dengan rakan sejawatannya, Fumio Kishida berkata, ia adalah petanda yang menggalakkan tentang keyakinan dan keinginan yang berterusan dari pelabur Jepun ke Malaysia.

“Kedatangan Kishida ke Malaysia bertepatan pada masanya, ketika hubungan dua hala kita semakin kukuh dan kita sedang memperhebatkan lagi kerjasama dalam perdagangan serta pelaburan, pembangunan industri, pembinaan kapasiti, pelancongan, pendidikan, pertukaran budaya termasuk sains dan teknologi.

“Tahun lalu, kedua-dua negara bersetuju untuk mengangkat hubungan dua hala ke peringkat ‘Kerjasama Strategik Menyeluruh (CPS)’. Susulan itu, kami berdua komited untuk memuktamadkan perincian terhadap kerjasama baharu ini yang saya yakin akan membawa hubungan kita ke peringkat seterusnya,” katanya.

Anwar berkata, sebagai negara rakan Komuniti Pelepasan Sifar Bersih Asia (AZEC), Malaysia dan Jepun komited untuk melaksanakan usaha yang lebih penting menyahkarbon dan mencapai aspirasi pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih yang lebih besar.

“Perbincangan kami memberi keutamaan kepada peralihan tenaga. Kita berharap dapat mengukuhkan kerjasama dengan Jepun kerana kita telah mengeksport gas asli cecair (LNG) melalui Petronas selama beberapa dekad dan ini adalah sesuatu yang Perdana Menteri Kishida dan delegasinya sangat berminat untuk lakukan,” katanya.

Pada 2022, LNG adalah eksport utama Malaysia ke Jepun merangkumi 31 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport ke negara tersebut.

Terdahulu, Anwar dan Kishida mengadakan pertemuan peribadi di Kediaman Rasmi Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana, disusuli dengan mesyuarat dua hala yang turut disertai Menteri-menteri dan pegawai Kerajaan dua negara.

Kedua-dua mereka turut menyaksikan pertukaran Memorandum Kerjasama (MOC) dalam bidang maklumat dan komunikasi, antara Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, dan rakan sejawatnya, Hiroshi Yoshida.

MOC itu melibatkan kerjasama komprehensif dalam bidang penyiaran dan ICT, di mana ia akan memudahcara pertukaran polisi dan perundangan maklumat, penerbitan bersama dalam penyiaran, serta perkongsian kepakaran penyiaran.

Dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pula, MOC itu menyentuh mengenai pelbagai bidang termasuk 5G, keselamatan siber, dan ekonomi digital.

Kishida, dan isterinya, Yuko, sedang mengadakan lawatan rasmi selama dua hari di Malaysia antara 4 hingga 5 November, selepas melakukan lawatan yang serupa di Filipina.

Sementara itu Anwar berkata, beliau dan Kishida turut menyentuh mengenai peringkat semasa penubuhan kampus Universiti Tsukuba di Malaysia, yang mampu menyediakan pendedahan dan akses pendidikan berkualiti Jepun kepada pelajar Malaysia.

Selain itu, beliau turut membangkitkan hasrat Malaysia untuk melihat penubuhan satu lagi kampus universiti terkemuka di Jepun, iaitu Waseda University, yang banyak melahirkan tokoh-tokoh di negara ini, termasuk Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz.

“Saya sebutkan kepada PM Kishida, satu lagi universiti yang telah melahirkan golongan intelektual seperti Prof Diraja Ungku Abdul Aziz, dan alumni lain dari universiti tersebut, iaitu Universiti Waseda. Saya telah meminta sokongan PM Kishida, supaya kita mengadakan kerjasama istimewa dengan Universiti Waseda,” katanya lagi.

Sementara itu, Kishida berkata, Jepun menyahut baik inisiatif dan kerjasama dengan Malaysia, khususnya dalam tiga bidang utama iaitu – kerjasama keselamatan dan pertahanan; ekonomi; serta hubungan ASEAN.

Tambahnya lagi, beliau gembira melihat hubungan strategik antara Jepun dan Malaysia terus mengukuh, dan berharap beberapa perkara yang dibincangkan, dapat dimuktamadkan menjelang pertemuan kedua mereka sewaktu Persahabatan dan Kerjasama Jepun-ASEAN di Tokyo, pertengahan Disember ini.

Related posts

Leave a Comment