Tiada masalah laungan takbir naikkan semangat

KUALA LUMPUR 30 Okt. –  Tidak ada sebarang masalah untuk laungan takbir, jika ia berniat baik, hendak menaikkan semangat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Justeru larangan laungan takbir pada perhimpunan solidariti untuk Palestin di ibu negara, baru-baru ini, tidak sepatutnya diperbesarkan sehingga menenggelamkan isu yang lebih penting terutama penyatuan menentang kezaliman terhadap rakyat Palestin.

Dr Mohd Na’im, berkata, apa yang menimbulkan kekeliruan mungkin kefahaman masyarakat awam yang mempunyai perspektif berbeza mengenai laungan kalimah takbir luar daripada waktu solat.

“Apa yang saya nak sebut di sini, bagaimana isu berkaitan laungan takbir ini tak sepatutnya menyelubungi isu lebih besar iaitu kesatuan semua untuk menyokong kezaliman didepani rakyat Palestin,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 bagi kementeriannya, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan  Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) mengenai larangan bertakbir di tempat awam sedangkan ia satu cara membangkitkan semangat terutama dalam menunjukkan solidariti terhadap situasi getir dihadapi rakyat Palestin.

Ahmad berkata, lafaz ‘Allahuakbar’ tidak terhad hanya dalam solat, malah ia digalakkan disebut umat Islam dalam pelbagai situasi dan tempat.

Sebelum ini, penganjur perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ dikecam selepas peserta yang hadir mendakwa ditegah bertakbir dan larangan membawa plakad tertentu.

Mohd Na’im tidak menafikan, lafaz takbir boleh dilaungkan di mana saja, apatah lagi jika dilaungkan bagi tujuan kebaikan.

“Laungan takbir mesti dilakukan dengan niat baik, termasuk untuk menaikkan semangat. Merujuk isu Palestin, semua pihak digesa memberi keutamaan dengan menyokong Palestin dalam segenap perkara dan mengutuk serangan Zionis yang tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment