Cadang bina pelabuhan di Sanglang

YAN 1 Sept. – Kerajaan mengkaji cadangan pembinaan pelabuhan agregat di Sanglang, daerah Kubang Pasu bagi mengendalikan kargo petroleum dan kargo pukal yang akan memberi nilai tambah kepada ekonomi Kedah.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata projek itu juga akan mewujudkan laluan penghubung jambatan darat di antara selatan Thailand dan Malaysia.

Beliau berkata, jika menjadi kenyataan, projek ini akan memberikan nilai tambah kepada ekonomi Kedah termasuk meningkatkan keyakinan pelabur menanam modal di negeri ini dan wilayah utara amnya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dan beberapa menteri Kabinet.

Muhammad Sanusi dalam ucapannya sebelum itu berkata, kerajaan negeri bersedia untuk menerima cadangan Kumpulan Albukhary bagi memajukan sebuah lagi Pelabuhan Laut Dalam di Sanglang, di Kubang Pasu yang bersempadan dengan Perlis.

Beliau berkata, cadangan itu amat strategik dan bakal menjadi projek ikonik yang akan memberi impak besar kepada ekonomi negara.

“Pelabuhan ini akan membolehkan sebuah jambatan darat di antara Sanglang dengan pantai timur Songkla diwujudkan bagi menyingkatkan jarak dan masa perjalanan antara Selat Melaka (di Timur) dengan Teluk Siam atau Gulf of Thailand (di Barat).

“Bagi pihak kerajaan negeri, kami amat mengharapkan sokongan dan kerjasama penuh Kerajaan Persekutuan untuk merealisasikan cadangan ini sepenuhnya,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, melihat prospek perkembangan yang akan berlaku di Kedah, khususnya di Pulau Bunting dan cadangan Pelabuhan Laut Dalam di Sanglang, kerajaan negeri memohon perhatian khusus daripada Perdana Menteri untuk Kerajaan Persekutuan meluluskan penubuhan Lembaga Pelabuhan Kedah sebagai pihak berkuasa yang akan bertanggungjawab ke atas operasi pelabuhan di negeri ini.

Katanya, daerah Yan khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau adalah kawasan yang pernah diwakili oleh guru politik beliau iaitu Allahyarham Ustaz Azizan Abdul Razak dan idea pembangunan Pulau Bunting itu dicetuskan oleh Almarhum sendiri sewaktu beliau menjadi Menteri Besar Kedah.

Related posts

Leave a Comment