Hanya satu sudu gula di medan selera Putrajaya

PUTRAJAYA 29 Okt. –  Hanya satu sudu gula bagi minuman yang dipesan di medan selera Putrajaya. Itu antara inisiatif menerusi Pelan Advokasi Mengurangkan Gula bagi menyebar luas mesej dan kesan gula terhadap kesihatan.

Menteri Kesihatan , Dr Zaliha Mustafa, berkata pelan yang merangkumi ‘Kempen Kurangkan Gula’ itu bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kesan gula berlebihan, sekali gus mengawal pengambilannya.

Katanya, pelan itu turut merangkumi kempen kurangkan gula dalam kalangan pengusaha gerai minuman di medan selera di Putrajaya.

“Saya difahamkan pengusaha minuman di medan selera sekitar Putrajaya bersetuju melaksanakan penggunaan satu sudu teh gula sahaja bagi minuman yang dipesan,” katanya dalam ucapan pelancaran Kempen Kurangkan Gula 2023 peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Zainal Alhakab Seman.

Menurut Dr Zaliha, ada beberapa pengusaha minuman di medan selera dan trak makanan sudah memulakan inisiatif pengurangan gula dalam minuman.

“Penghargaan dan pujian saya tujukan kepada pengusaha minuman di Medan Selera Presint 16 serta yang lain iaitu medan selera di Presint 8, Presint 9, Presint 11, Laman Perdana Presint 1, Laman Duta Presint 15 dan Trak Makanan Putrajaya yang menyahut cabaran mengurangkan gula,” katanya.

Beliau juga berharap pihak negeri menyebarkan pelaksanaan pengurangan gula di peringkat negeri dengan tumpuan kepada pengusaha minuman di gerai dan medan selera dengan kerjasama majlis perbandaran atau pihak berkuasa tempatan.

Dr Zaliha berkata, pengambilan gula berlebihan boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti peningkatan berat badan dan obesiti, diabetes, karies gigi dan risiko penyakit tidak berjangkit yang lain.

Beliau berkata, obesiti berlaku disebabkan ketidakseimbangan antara tenaga atau kalori yang diambil melalui makanan dengan aktiviti fizikal yang dilakukan.

Dr Zaliha berkata, banyak kajian membuktikan kaitan pengambilan gula berlebihan dengan pelbagai jenis penyakit.

“Peningkatan jumlah pesakit memberi beban besar kepada ekonomi dan kewangan negara, dengan kos merawat penyakit diabetes mencecah RM4.38 bilion setahun pada 2017 berbanding RM2.04 bilion pada 2011,” katanya

Related posts

Leave a Comment