BAGI yang mengikuti persidangan Dewan Rakyat minggu ini, iaitu pada Isnin, 23 Oktober 2023, tentunya dapat mengingati soalan-soalan berkaitan taraf kewarganegaraan yang dibangkitkan oleh dua orang wakil rakyat.
Lo Su Fui (GRS-Tawau) membangkitkan lebih satu juta penduduk di Sabah tidak berdokumen, dan mendakwa KDN tidak serius menyelesaikan isu kewarganegaraan walaupun pemohon dengan dokumen yang lengkap dan menang kes mahkamah.
Sementara Dr. Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai) mendakwa proses mendapat kewarganegaraan memakan masa tiga, empat tahun, kadangkala tak ada jawapan atau biasanya jawapan dalam proses. Beliau merujuk kes warga emas.
Menjawab persoalan ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menafikan angka satu juta penduduk Sabah tiada dokumen. Bagaimanapun beliau meminta wakil rqkyat Tawau memaklumkan maklumat berkaitan dakwaan itu.
Pada masa yang sama, beliau bertanya apa maksud lengkap dokumen. Menurut menteri itu, terdapat lebih kurang 11 ‘weightage’ atau pertimbangan yang diguna pakai. Jika dokumen lengkap tetapi bermasalah, maklumkan secara spesifik.
Saifuddin juga menjelaskan dalam tempoh 10 bulan di Kementerian Dalam Negeri (KDN), sebanyak 10,381 keputusan dibuat berhubung permohonan itu.
“Sebaliknya kita ditohmah, luluskan puluhan ribu warganegara kepada rakyat China. Ini jahat! Ya, kalau mereka tahu bagaimana berhempas-pulas pegawai di KDN menguruskan perkara ini, 10,381 dalam tempoh 10 bulan.
Tawau, kalau itu juga Tawau anggap sebagai KDN tidak serius, saya ucap terima kasih. Majulah Sukan Untuk Negara! ,” katanya.
Entah kenapa tiba-tiba sahaja ayat Majulah Sukan Untuk Negara muncul.
Menarik juga untuk meneliti jawapan Saifuddin Nasution berhubung soalan Jeck Seng mengenai tempoh kelulusan kewarganegaraan terutama melibatkan warga emas.
“Kebanyakan warga emas gagal melepasi ujian penguasaan bahasa Melayu. Penguasaan bahasa ini di negara-negara luar best practicesnya pun kita teliti. Mereka menghendaki yang nak mohon warganegara tu boleh berbahasa rasmi, bahasa pertuturan negara berkenaan. Ini kebanyakannya,” kata Saifuddin.
Menurut portal Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terdapat beberapa syarat Permohonan Taraf Kewarganegaraan Di Bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan termasuk berumur 21 tahun atau lebih.
Pemohon juga mestilah bermastautin dalam Persekutuan selama tempoh kesemuanya tidak kurang daripada 10 tahun dalam 12 tahun termasuk 12 bulan terdahulu pada tarikh permohonan dikemukakan.
Pemohon juga berniat untuk bermastautin dalam Persekutuan selama-lamanya, berkelakuan baik dan mempunyai pengetahuan Bahasa Melayu yang memadai.
Memadai, maknanya mungkin sekadar tahu serba sedikit bahasa Melayu.
Berhubung isu bahasa, Saifuddin Nasution berkata: “Markah tak lulus satu, markah lulus lapan. Dia ada rating. Sekarang ini, yang dua pun kadang-kadang saya luluskan. Dua ini maknanya, “Terima kasih”, dia jawab “Sama- sama”. Itu pun lulus.
“Apa khabar”, “Khabar baik”. Itu lulus. Dia tidak boleh buat ayat macam Tan Sri ( Yang Dipertua Dewan Rakyat), – macam Tanjong Piai buat. Tak apalah. Sampai kita turunkan kayu ukur sampai ke situ.
Ada yang warga usia lama ini, mereka terlalu fasih dengan bahasa asing. Jadi, sampai tidak boleh langsung. Jadi, yang itu antara kekangan yang kita hadapi. Itu pun kita cuba bantu,” kata Saifuddin Nasution.
Itu warga emas. Tidak dinafikan, kalangan warga emas ini sukar berbahasa Melayu atau tidak tahu bercakap dan menulis dalam bahasa Melayu.
Pengalaman menjadi pembanci sekitar tahun 80an amat mencabar apabila kawasan bancian melibatkan kawasan bukan Melayu, lebih tepat bangsa Cina. Maka kenalah ambil tahu dua tiga patah perkataan bahasa Mandarin untuk memudahkan komunikasi. Paling mudah bagaimana mahu meminta kad pengenalan.
Kini tempoh pemprosesan permohonan kewarganegaraan dikurangkan daripada 73 hari kepada 14 hari menerusi Sistem Tapisan Keselamatan Warganegara JPN.
Saifuddin Nasution, berkata proses berkenaan akan dijalankan secara lebih cekap menerusi pelaksanaan sistem itu yang dibangunkan JPN dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Jika sebelum ini dokumen permohonan kewarganegaraan yang diterima JPN akan diserahkan kepada pihak polis secara fizikal (bercetak), tetapi dengan adanya sistem ini penyerahan dokumen adalah secara dalam talian,” katanya
Saifuddin berkata, sistem itu secara automatik akan menolak permohonan yang didapati pemohonnya terbabit dengan pertubuhan dianggap berbahaya dan mengancam ketenteraman awam, selain tinggal di negara ini melebihi masa.
