Malaysia komited sertai debat di PBB

PUTRAJAYA 26 Okt. – Malaysia komited untuk menyertai Debat Terbuka Peringkat Tinggi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai situasi di Asia Barat pada 24 Oktober dan Sesi Khas Kecemasan pada Perhimpunan Agung di ibu pejabat PBB, New York hari ini.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Malaysia turut menggesa pengisytiharan gencatan senjata ke atas semua tindakan keganasan termasuk perbuatan ganas, provokasi, hasutan dan kemusnahan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam kenyataan itu, Malaysia bersama Brunei, Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Laos, Maldives, Timur Leste dan Vietnam menyokong permohonan kumpulan negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menyambung semula Sidang Tergempar ke-10 pada perhimpunan berkenaan.

Sokongan itu dinyatakan Malaysia susulan ada negara yang menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi sewaktu ucapan dalam Majlis Keselamatan berkenaan situasi getir di Palestin yang diduduki Israel, termasuk Timur Baitulmuqaddis.

“Sebagai sebuah negara yang menyokong kuat langkah rakyat Palestin, Malaysia kekal teguh dalam menyuarakan sokongan negara ini terhadap hak pemilikan rakyat Palestin untuk menentukan sendiri daripada pendudukan berpanjangan dan pengilhakkan wilayahnya yang diceroboh sejak 1967.

Sehubungan itu, Malaysia komited untuk menyertai Debat Terbuka Peringkat Tinggi Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di Asia Barat pada 24 Oktober dan Sesi Khas Kecemasan pada Perhimpunan Agung pada 26 Oktober (hari ini),” kata kenyataan itu hari ini.

Pada masa sama, Malaysia memberi peringatan kepada semua negara bahawa tindakan secara berseorangan tidak cukup untuk memperjuangkan hak asasi manusia memandangkan masih ada negara yang mengabaikan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Malaysia berpegang teguh dengan pendirian negara ini bahawa Palestin berhak berdaulat dan memiliki negara merdeka, berdasarkan persempadanan pada 1967 dengan Timur Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya.

“Selain itu, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak ke arah penyelesaian konflik yang aman dan damai,” kata Wisma Putra.

Related posts

Leave a Comment