Sidang Dewan Rakyat tidak cukup kuorum

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat petang ini tertangguh seketika ekoran tidak cukup kuorum bersidang.

Penangguhan dibuat selepas Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) membangkitkan peraturan mesyuarat 13(1), selepas mendapati kehadiran tidak cukup Ahli Parlimen sekurang-kurangnya 26 orang dalam dewan.

“Tak cukup korum. Hanya 17, 18 orang saja. Ahli Parlimen kerajaan cuma tujuh orang (dalam dewan),” katanya.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong mengarahkan loceng dibunyikan dan ia berlangsung selama kira-kira dua minit.

Terdahulu, Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen bangkit mencelah memaklumkan sebahagian Ahli Parlimen ketika itu sedang menghadiri satu taklimat di bangunan Parlimen.

“Ada taklimat di aras dua. Kebanyakan Ahli Parlimen mengahadiri taklimat yang diadakan oleh KPM (Kementerian Pendidikan),” katanya.

Bilangan korum mencukupi untuk membolehkan satu-satu majlis Parlimen bersidang adalah 26 orang.

Ini adalah kali kedua persidangan Parlimen yang bermula sejak 9 Oktober lalu ditangguh seketika apabila pada Khamis minggu lalu, persidangan turut menghadapi masalah yang sama.

Sementara itu, ketika sesi dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor, beberapa Ahli Parlimen ditegur kerana berbual ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 hari ini.

Ramli membuat teguran itu selepas ada Ahli Parlimen dilihat berborak serta berbual menggunakan telefon bimbit yang disifatkannya tidak menghormati Ahli Parlimen lain yang sedang berbahas.

Ketika Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) sedang berbahas, Ramli menegur seorang Ahli Parlimen kerana menjawab panggilan telefon bimbit dan ‘sibuk’ berbual menggunakan peranti itu.

“Sampai sini (tempat duduk Yang Dipertua) saya boleh dengar (perbualan)…kalau mustahak sangat, keluarlah (dari dewan). Kita hormatlah orang yang tengah bagi ucapan (berbahas),” katanya.

Terdahulu, Ramli turut menegur beberapa Ahli Parlimen kerana berbual sesama sendiri dan tidak memberikan fokus ketika Mordi Bimol (PH-Mas Gading) sedang berbahas.

Related posts

Leave a Comment